Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya bekerja sebagai tukang gunting rambut di Australia. Majoriti tempat saya adalah orang bukan islam. Kedai gunting saya bekerja sekarang adalah kedai gunting lelaki, harga berpatutan dan tidak mahal seperti kedai lain. Yang jadi masalah kadang-kadang ada perempuan bukan islam datang gunting. Adakah saya boleh gunting perempuan tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, seorang lelaki tidak boleh memotong rambut perempuan yang bukan mahramnya sama ada muslim atau bukan muslim. Ini kerana haram seorang lelaki melihat aurat perempuan ajnabi dalam apa jua keadaan. Firman Allah SWT: قُلْ لِّـلۡمُؤۡمِنِيۡنَ يَغُـضُّوۡا مِنۡ اَبۡصَارِهِمۡ وَيَحۡفَظُوۡا فُرُوۡجَهُمۡ ؕ ذٰ لِكَ اَزۡكٰى لَهُمۡ ؕ اِنَّ اللّٰهَ خَبِيۡرٌۢ بِمَا يَصۡنَـعُوۡنَ Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.” (an-Nur :30) Adalah disarankan supaya tuan mengambil pekerja wanita bagi memudahkan urusan pelanggan wanita yang ingin bergunting rambut di sana pada masa akan datang, atau meletakkan papan tanda di kedai tersebut khusus untuk pelanggan lelaki sahaja. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.