Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum Ustaz
di kebun saya ada tiang pagar elektrik dan berdekatan dengan tiang pagar itu ada tempat babi berkubang.ketika saya membuat maintenance pada tiang pagar itu, ada kesan tanah akibat di sondol babi.persoalan saya adakah saya perlu sertu tangan saya setelah saya memegangnya atau adakah ianya suci setelah hujan turun membasahinya.masalah ini juga terjadi pada pokok pokok yang saya tebang(ada tinggal tanah kesan sondolan babi pada batang pokok yang ditebang)
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, najis babi dihukumkan sebagai najis mughallazah dan kaedah penyuciannya adalah dengan membasuh sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan air yang bercampur tanah, sebagaimana hukum najis anjing menurut mazhab Syafi'i. Sekiranya seseorang menyentuh tanah, tiang pagar atau pokok yang diyakini telah terkena najis babi, maka bahagian yang terkena najis tersebut hendaklah disertu mengikut kaedah yang ditetapkan. Hal ini berdasarkan pandangan ulama yang mengqiyaskan babi kepada anjing, sebagaimana dinyatakan dalam kitab Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh,:
"ويقاس الخنزير على الكلب ؛ لأنه أسوأ حالاً منه ، وشر منه..."
Maksudnya: “Babi diqiyaskan dengan anjing kerana keadaannya lebih buruk daripadanya.”
Adapun sekiranya kawasan tersebut terkena hujan, hujan tidak menggantikan kaedah sertu sekiranya najis mughallazah masih diyakini wujud. Namun, jika hanya berdasarkan sangkaan atau syak tanpa keyakinan bahawa najis babi telah terkena, maka tidak dihukumkan sebagai najis kerana hukum asal sesuatu adalah suci.
Kesimpulannya, sekiranya diyakini terkena najis babi, hendaklah dilakukan sertu sebanyak tujuh kali dan salah satunya menggunakan air bercampur tanah. Jika hanya syak dan tiada keyakinan, maka tidak perlu dilakukan sertu.
Sekian, terima kasih.