Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ingin mendapatkan pencerahan mengenai hukum mengamalkan pandangan mazhab lain (selain Syafi'i) dalam urusan berwuduk ketika bermusafir atau melancong ke negara luar, khususnya di negara-negara barat atau minoriti Muslim (seperti Eropah atau China).
Contoh kekangan dan kesukaran, seperti:
Fasiliti tandas awam yang tidak mesra Wuduk atau kurang bersih.
Tempat wuduk terbuka yang tidak sesuai bagi wanita menjaga aurat.
Kesukaran mencari tempat wuduk yang selesa.
Adakah dibenarkan bagi kami mengambil hukum atau rukhsah daripada mazhab lain bagi memudahkan urusan ibadah dalam situasi seperti ini?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan tersebut, secara asasnya seorang muslim yang beramal dengan Mazhab Shafi‘i hendaklah meneruskan amalan berdasarkan mazhab tersebut. Walau bagaimanapun, dia dibenarkan mengambil pandangan daripada mazhab muktabar yang lain apabila terdapat keperluan atau kesukaran yang diiktiraf syarak termasuk ketika bermusafir ke negara yang mempunyai kemudahan ibadah yang terhad. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185:
Maksudnya: Allah menghendaki kemudahan bagi kalian dan tidak menghendaki kesukaran bagi kalian.
Dalam keadaan seperti kesukaran mendapatkan tempat wuduk, tempat wuduk terbuka yang menyukarkan wanita menjaga aurat atau keadaan fasiliti yang menyebabkan masyaqqah (kesukaran) yang nyata, terdapat ruang untuk mengambil pandangan mazhab lain yang muktabar. Namun, ia hendaklah dilakukan berdasarkan pandangan yang sah dalam mazhab tersebut dan bukan semata-mata mencari pendapat yang paling mudah.
Sekian, terima kasih.