BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Beberapa bulan lepas (mungkin 7-8), saya telah onani. Air mazi bercampur dengan air mani. Selepas itu, saya mandi wajib dan keringkan badan, tapi masih ada bau mani tu, walaupun saya syak saya dah cuba gosok. Ada juga rasa licin, tapi itu mungkin bukan licin mani tapi licin yang biasa.

1. Mani yang campur dengan mazi dikira najis ke? Dan disebabkan itu, adalah ia perlu dibersihkan hingga bau, zat dan rasa air mani tu hilang?

2. Adakah tangan, kain yang saya guna untuk keringkan, tempat gantung kain, dan sebagainya turut jadi najis?

Lagi satu, adakah ini was-was? Saya dah lama ada was-was dengan solat dan niat. Saya rasa keliru.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, 

1) Menurut Mazhab Syafi‘i, air mani itu sendiri adalah suci, manakala mazi adalah najis. Jadi, sekiranya benar-benar tuan yakin bahawa ada mazi yang bercampur dengan mani, maka bahagian campuran tersebut perlu dibersihkan kerana adanya unsur najis. Tempat yang terkena najis tersebut perlu dibersihkan sebaiknya sehingga suci daripada zat, bau, warna dan rasa secara yakin.

2) Tidak perlu disucikan sekiranya telah yakin bahawa tangan, kain dan tempat tersebut telah suci daripada najis secara yakin dan nampak dengan zahir. Hal ini dikuatkan dengan kaedah Fiqh yang berbunyi:

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: Pada asasnya, (hukum) sesuatu itu kekal mengikut keadaan (hukum) asalnya.

Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. 

Hal ini boleh dikategorikan sebagai was-was dan sebaiknya tuan mengatasi was-was ini sebelum ia merosakkan ibadah tuan. Panduan dalam menangani was-was dalam perkara Ibadah, tuan boleh merujuk kepada lama sesawang berikut: https://www.muftiselangor.gov.my/2024/11/19/76-taudhih-al-hukmi-panduan-menangani-was-was-dalam-perkara-ibadah/

Was-was termasuk dalam salah satu sifat negatif yang menjadi beban psikologi, tidak mudah untuk dihilangkan begitu saja serta memerlukan masa untuk menghilangkannya. 
Antara cara menangani was-was adalah dengan: 
1. Meningkatkan ilmu pengetahuan dengan mempelajari tatacara ibadah yang sahih. 
2. Tidak melayan dan menuruti perasaan was-was tersebut. 
3. Bersabar dan terus melawan was-was dalam diri. 
4. Memohon perlindungan daripada Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 13

message user image