BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan. Saya di sini ingin bertanya beberapa soalan yang mengganggu fikiran saya sejak menunaikan umrah pada hujung tahun 2025. Saya sememangnya mempunyai masalah angin, dari awal baligh sehingga sekarang. Tapi selalu keliru antara terkentut atau tidak semasa beridabat. Ini menyebabkan saya selalu mengulang ulang mengambil wuduk, ada kalanya belum selesai wuduk, saya sudah perlu mengulangnya semula akibat rasa seperti terkentut tapi dlm keadaan saya tak pasti. Jadi untuk selamat, saya ulang ambil wuduk. Situasi ini menyebabkan sukar untuk saya solat berjemaah bersama orang lain di masjid.

Di malaysia, perkara itu sudah tidak menjadi kerisauan yang melampau buat saya kerana saya boleh mengulang ambil wuduk. Tetapi situasi berbeza apabila saya menunaikan umrah. Saya tahu ada keringanan untuk orang yg bermasalah angin dlm berwuduk. Tapi disebabkan saya dalam keadaan tak pasti sama ada ia kentut atau bukan, Jadi saya tidak betul betul mendalami ilmu itu.

Di mekah, semasa menunaikan umrah kedua, saya berasa sangat tidak selesa, saya cuba untuk membuang air dan pastikan perut selesa sebelum umrah, tetapi saya tetap tak selesa terasa seperti keluar angin tapi  keliru. Disebabkan saya tidak dpt membuang air sebelum itu walaupun sudah lama berada dalam tandas, saya tekad untuk berwuduk dan pergi tawaf. Semasa dlm perjalanan ke masjidil haram, dan semasa tawaf, saya sangat was was tentang wuduk saya kerana rasa seperti angin, tetapi saya keliru.

Saya cuma berdoa sekiranya itu kentut, Allah maha mengetahui, saya menganggap saya boleh diberi keringanan , dan berdoa Allah terima umrah saya tersebut. Saya juga ada merujuk website mufti semasa tawaf itu tentang angin, dan terbaca Rasulullah berkata jika keliru kentut atau tidak, selagi tidak ada bunyi atau bau, ia tidak dikira kentut. Setelah meyakinkan diri, saya tetap teruskan tawaf. Tapi dalam keadaan saya cemas kerana takut tawaf saya tidak sah. Tapi saya cuba meyakinkan diri saya.  Serelah masuk waktu asar, selepas habis empat pusingan, saya telah mengulang ambil wuduk sebelum solat asar.

Tapi saya jahil waktu itu, belum tahu tentang perkataan "daimul hadas" dan cara niat daimul hadas yang betul. Saya cuma niat mengangkat hadas kecil. Beberapa minit selepas ambil wuduk baru, rasa tu kembali. Saya was was lagi. Masa tu saya dh bertekad yang saya nak solat asar dan sambung habiskan sampai 7 pusingan dengan wuduk itu kerana saya sudah cuba ambil wuduk baru tapi tetap rasa seperti terbatal. Saya terfikir ketika itu, jika saya mengulang ulang, belum tentu rasa itu akan selesai, dan saya tidak mahu jadi manusia yg was was sehingga melakukan perkara sama berulang kali. Saya meneruskan tawaf, saie dan tahalul.

Dan saya demam selepas umrah itu dan tak melakukan umrah lain dah lepas tu. Setelah selesai di Melah, dalam perjalanan ke Madinah, saya mulai risau kerana rasa sepeeti saya susah tidak mempunyai peluang untuk me mengulang kembali tawaf saya. Perkara ini semakim menjadi kerisauan saya apabila saya terdengar taklimat satu kumpulan umrah ni (bukan kumpulan saya) mutawwif mereka sangat tegas tentang wuduk semasa tawaf, jadi saya kembali risau akan umrah saya sah atau tidak. 

Saya ada bertanya kepada mutawwif saya, beliau menjawab sekiranya saya yakin saya terkentut, saya perlu bayar dam seekor kambing untuk melepaskan diri dari ihram, tetapi sekiranya saya merasa kan itu satu keuzuran, saya sudah lepas dari pantang larang ihram dan telah halal. Tetapi saya masih keliru adakah saya keadaan saya boleh dikategorikan sebagai daimul hadas atau tidak. 

Apa kah tindakan yang perlu saya ambil? Adakah saya boleh dikategorikan sebagai daimul hadas? dan jika boleh, sah kah wuduk saya kerana niat angkat hadas kecil? Dan apakah status umrah saya tersebut? Adakah amalan saya diterima selepas peristiwa itu? Sekarang saya sangat ragu ragu walaupun saya berusaha semaksima mungkin untuk beribadat, dan berusaha menjadi lebih baik selepas umrah. Tetapi dalam masa sama saya risau sekiranya saya berhutang dengan Allah. Sekarang, sekiranya saya melakukan kesilapan, saya rasa sangat berdosa Tuan. Atau itu semua hanya was was sahaja tuan? 


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan tersebut:

1. Keadaan puan ketika tawaf: adakah wuduk terbatal?

Daripada apa yang diceritakan, puan tidak pernah yakin bahawa angin benar-benar keluar. Dalam keadaan ini, hukum asalnya ialah wuduk masih kekal. Dalilnya ialah Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Maksudnya: Janganlah dia membatalkan solatnya sehingga dia mendengar bunyi atau mendapat bau. (Riwayat Al-Bukhari)

2. Adakah puan seorang yang "daimul hadas"?

Daimul hadas ialah orang yang hadasnya keluar secara berterusan sehingga hampir tiada ruang masa yang mencukupi untuk bersuci dan menunaikan solat. Contohnya: kencing tidak lawas atau angin yang keluar tanpa henti sehingga sukar dikawal.

Seterusnya perlu dibezakan antara masalah angin dan sentiasa ragu-ragu sama ada sudah kentut atau belum kerana dua keadaan ini berbeza. Jika sebenarnya angin tidak keluar tetapi puan hanya sentiasa menyangka ia keluar, maka itu bukan daimul hadas, sebaliknya masalah waswas dalam taharah.

3. Mengapa mutawwif mengatakan perlu dam?

Jika seseorang benar-benar yakin dia berhadas dan kemudian meneruskan tawaf tanpa keuzuran, maka memang timbul isu sah atau tidak tawaf tersebut menurut mazhab yang mensyaratkan suci daripada hadas ketika tawaf. Situasi puan lebih cenderung kepada waswas.

4. Adakah umrah puan sah?

Berdasarkan fakta  yang diberikan, saya melihat bahawa terdapat alasan yang kuat untuk mengatakan ianya sah kerana tidak terbatal umrah tersebut kerana syak. Bahkan tindakan puan ketika itu sebenarnya betul iaitu tidak melayan syak yang tidak pasti.

5. Bagaimana pula dengan amalan selepas umrah?

Puan bertanya:"Adakah Allah menerima amalan saya?"

Perkara ini termasuk dalam urusan yang hanya diketahui oleh Allah.  Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke- 286:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. 

Tambahan pula puan juga telah berusaha membuang angin sebelum umrah, berwuduk, mencari fatwa, berdoa kepada Allah, memperbaharui wuduk sekali lagi dan menyempurnakan ibadah. Semua ini menunjukkan puan telah berusaha sedaya upaya dan bukan bermudah-mudah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 12

message user image