Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum, saya ingin bertanya mengenai kewajipan menunaikan badal haji kepada arwah ibu saya.
Situasinya dimana semasa arwah ibu masih hidup, arwah ibu tidak berkemampuan dan masih belum mampu untuk menunaikan ibadah haji.
Mengikut pemahaman dan bacaan saya, hukumnya tidak wajib untuk menunaikan badal haji kepada arwah ibu. Arwah telah meninggal selama 16 tahun dan meninggalkan harta pusaka iaitu sebuah rumah. Dalam tempoh baru - baru ini, ayah saya telah menjual rumah tersebut dgn nilai yang mampu untuk waris melaksanakan badal haji ke atas arwah ibu.
Saya sangat berharap sedikit dari hasil jualan rumah pusaka tersebut digunakan untuk melaksanakan badal haji arwah ibu. Jika dikira setiap satu bahagian yang diterima waris adalah tidak cukup untuk melaksanakan badal haji bagi arwah ibu melainkan hasil jualan harta pusaka tersebut digunakan dahulu sebelum dibahagikan sesama waris walaupun bakinya sedikit sahaja diterima.
Soalan saya ialah adakah berdosa jika sebahagian dari waris tidak mahu sama - sama menggunakan wang tersebut untuk badal haji arwah ibu? Adakah saya juga turut sama menanggung dosa tersebut ? Apakah tindakan yang saya perlu lakukan? .
Terima kasih atas segala keprihatinan dan perhatian pihak mufti.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan pihak tuan, Allah SWT berfirman di dalam Surah Ali 'Imran ayat ke- 97
Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi sesiapa yang mampu mengadakan perjalanan ke sana
1. Dalam Mazhab Shafi‘i, kewajipan haji hanya berlaku apabila seseorang memenuhi syarat istita‘ah yakni kemampuan. Jika seseorang meninggal dunia sebelum memiliki kemampuan tersebut, maka dia tidak memikul kewajipan haji. Sebagai contoh Dr. Mustafa al-Bugha dan lain-lain menyebut di dalam Al-Fiqh al-Manhaji:
Maksudnya: Adapun orang yang meninggal dunia sebelum sempat berkemampuan menunaikan haji atau umrah, maka tidak ada apa-apa kewajipan ke atasnya
2. Dalam keadaan yang tuan nyatakan, tidak wajib menggunakan harta pusaka almarhumah bagi membiayai badal haji sebelum pembahagian pusaka. Berbeza jika almarhumah telah cukup syarat wajib haji ketika hidup tetapi sengaja menangguhkannya sehingga meninggal dunia. Ketika itu, kos haji hendaklah diambil daripada harta pusakanya sebelum pusaka dibahagikan kepada waris.
Jika benar haji tidak pernah menjadi wajib ke atas almarhumah, maka waris tidak berdosa jika tidak bersetuju menggunakan harta pusaka untuk badal haji dan mereka berhak menerima bahagian pusaka masing-masing mengikut faraid.
Namun begitu, sekiranya semua waris bersetuju untuk menyumbangkan sebahagian hak masing-masing bagi membiayai badal haji, maka ia merupakan suatu amalan kebajikan dan hadiah pahala kepada almarhumah yang sangat baik.
3. Insya-Allah, tuan tidak berdosa sekiranya telah menasihati dan mencadangkan perkara yang baik kepada ahli keluarga dan ahli waris lain tidak bersetuju. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat ke- 286:
Maksudnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan mengikut kemampuannya
Justeru, tuan tidak memikul dosa atas keputusan orang lain dalam perkara yang memang tidak diwajibkan oleh syarak.
Sekian, terima kasih.