BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

Saya ingin bertanya mengenai hukum jamak dan qasar dalam situasi perjalanan saya.

Saya biasanya dari rumah di Rawang ke Setiawangsa untuk menziarahi ibu bapa mertua, kemudian ke Bukit Beruntung untuk menziarahi ibu bapa saya dan bermalam satu malam. Dari awal perjalanan memang saya sudah berniat untuk ke Bukit Beruntung dan bermalam di sana.

Jarak anggaran:

  • Rawang → Setiawangsa: 35 km
  • Setiawangsa → Bukit Beruntung: 50 km
  • Rawang → Bukit Beruntung: 30 km
  • Bukit Beruntung → Kuala Lumpur: sekitar 65–70 km

Jadi, perjalanan Rawang → Setiawangsa → Bukit Beruntung adalah sekitar 85 km, melebihi 81 km (dua marhalah).

Saya bermastautin bersama isteri dan anak-anak di Rawang. Rumah di Bukit Beruntung ialah rumah ibu bapa saya yang dibeli selepas saya berkahwin. Sejak berkahwin saya tidak pernah tinggal tetap di situ, kecuali pernah tinggal sementara sekitar 3 bulan ketika menunggu rumah sendiri siap direnovasi.

  1. Dalam situasi ini, adakah saya dikira musafir dan boleh jamak qasar kerana jumlah perjalanan Rawang → Setiawangsa → Bukit Beruntung melebihi 81 km, walaupun Rawang → Bukit Beruntung sendiri hanya sekitar 30 km?
  2. Bagaimana pula kaedah kiraan dua marhalah? Adakah jarak 81 km mesti dicapai antara satu tempat asal dengan satu destinasi secara terus, atau boleh dikira berdasarkan keseluruhan perjalanan yang memang telah diniatkan sejak awal termasuk beberapa persinggahan?

Contohnya, dari Bukit Beruntung → Subang → Shah Alam → Kuala Lumpur, jika keseluruhan perjalanan melebihi 81 km dan semua destinasi tersebut memang telah dirancang sejak awal, adakah ia dikira mencapai dua marhalah dan membolehkan jamak qasar, atau setiap satu perjalanan perlu melebihi 81 km secara berasingan?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

1. Berdasarkan situasi yang dikemukakan, tuan yang bermastautin di Rawang dan melakukan perjalanan dari Rawang ke Setiawangsa untuk menziarahi ibu bapa mertua, kemudian meneruskan perjalanan ke Bukit Beruntung untuk menziarahi ibu bapa serta bermalam di sana, tidak boleh mengira keseluruhan jarak Rawang → Setiawangsa → Bukit Beruntung sebagai satu perjalanan bagi mencukupkan jarak 2 marhalah sekiranya jarak antara tempat asal dan destinasi yang dituju tidak mencapai 2 marhalah. Oleh itu, rukhsah jamak dan qasar tidak diperoleh atas alasan mengumpulkan jarak Rawang → Setiawangsa dan Setiawangsa → Bukit Beruntung.

2. Kiraan 2 marhalah = 81 KM atau lebih dan perjalanan itu sehala, bukan pergi - balik dan dicapai antara satu tempat asal dengan satu destinasi akhir secara terus.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 21

message user image