BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada soalan mengenai nazar.

9 tahun lepas saya ada bernazar jika saya buat sesuatu dosa ini, saya akan membaca satu juzu quran. Tetapi dosa ini saya buat berulang kali sehingga hari ini dan saya telah hilang kiraan berapa kali saya buat kerana kerap melakukannya. Jadi sekarang saya nak tau apa cara saya nak selesaikan nazar ini kerana saya tak mampu untuk baca berjuzu juzu quran yang saya dah lost track kiraannya. Mohon pencerahan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Pada asasnya, nazar dari sudut istilah adalah: mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan atau mengaitkan dengan suatu perkara.

Hukum melunaskan nazar adalah WAJIB sebagaimana hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)

Namun begitu, nazar tidak berlaku dan tidak sah dalam perkara yang berkaitan dengan dosa dan maksiat, hal ini kerana perbuatan dosa dan maksiat merupakan larangan yang jelas dan sememangnya perlu ditinggalkan dalam Islam. Maka, perbuatan bernazar atas kesalahan berbuat dosa atau maksiat yang dilakukan adalah tidak sah.

Oleh yang demikian, tuan tidak diwajibkan untuk membaca berjuzuk-juzuk al-Quran seperti yang dinyatakan. Ini adalah kerana ia tidak dihukumkan sebagai nazar sebagaimana yang telah dijelaskan. Apabila ia tidak dihukumkan nazar, maka segala yang berkaitan dengannya seperti puasa dan kaffarah tidak menjadi tanggungan terhadap diri tuan. Maka jalan keluarnya adalah bertaubat secara bersungguh kepada Allah SWT atas kekhilafan yang telah dilakukan. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran ayat ke 135:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 11

message user image