Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: As salam.Saya ada keraguan mengenai permasalahan saya. Saya dan suami sudah berkahwin selama 23 tahun dan tidak pernah ada masalah. Apa yang menjadi masalah sekarang, ada seorang janda yang berkehendakkan suami. Janda tersebut sangat pandai mengambil hati mertua sehingga mertua menjodohkan dengan suami. Suami menolak atas alasan tiada keperluan. Adakah jatuh hukum berdosa jika suami menolak permintaan ibunya? Suami tidak mahu digelar anak derhaka
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tidaklah berdosa menolak permintaan ibu tersebut dengan cara yang baik. Terang dan fahamkan padanya, kerana suami tiada keperluan untuk berbuat demikian. Hukum berkahwin boleh jatuh haram jika perkahwinan itu bertujuan untuk menganiaya orang (isteri sedia ada) atau memecahbelahkan kebahagiaan rumahtangga sedia ada. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda; ليس منا من خبب امرأة على زوجها او عبدا على سيده Maksudnya : Bukan dikalangan kami (umat Nabi Muhammad SAW) orang yang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya, atau hamba dengan tuannya”. (Riwayat Abu Daud) Tetapi, pada masa yang sama ia bergantung kepada suami untuk membuat pilihan, terutamanya jika ada kemampuan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.