Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya bekerja di makmal kilang makanan haiwan ternakan. Setiap hari di makmal, kami akan menerima sampel untuk diuji dari kilang production syarikat dan juga dari kilang luar.
Saya dapat tahu yang salah satu bahan yang perlu diuji iaitu Vitamin A (dalam bentuk serbuk) mengandungi gelatin yang diperoleh daripada kulit babi. Gelatin digunakan sebagai coating bahan vitamin A, dan menjadi produk yang berbentuk serbuk. Untuk memulakan ujikaji, saya akan memakai glove untuk menimbang bahan ini dahulu. Selepas itu, bahan ini akan dicampur dengan solution untuk pencernaan kimia.
Semasa kaedah pencernaan kimia, di mana bahan tersebut di dalam keadaan basah, peralatan yang digunakan sewaktu proses tersebut menjadi basah dan dibasuh secara biasa dan dibilas dengan distilled water.
Hal ini menimbulkan kegusaran kerana semasa menimbang bahan tersebut, habuk halus dan serbuk boleh terampai di udara dan tersebar ke kawasan sekeliling, pakaian, peralatan di sekitar kawasan penimbang dan sebagainya. Walaupun saya nampak sifatnya lain daripada yang asal dan dalam keadaan kering, tetapi disebabkan serbuk yang berkemungkinan masih ada pada pakaian dan permukaan yang saya tidak perasan, saya menunaikan ibadah saya seperti biasa dalam keadaan was-was.
Jadi di sini,
1. Apakah hukum untuk saya dan rakan sekerja yang berada di makmal, dan juga pekerja kilang bahagian production sewaktu pembuatan makanan ternakan mengandungi bahan tersebut? Adakah ia dikategorikan sebagai najis berat atau ringan, sewaktu dalam bentuk serbuk dan bentuk campuran air?
2. Adakah cara penyucian untuk pakaian yang digunakan untuk beribadah sama seperti samak/sertu atau boleh ditepuk kerana kering dan kering? Bagaimana pula dengan peralatan makmal dan mesin yang digunakan sewaktu membuat makanan ternakan?
3. Bagaimana pula langkah-langkah dalam pengendalian bahan tersebut sewaktu bekerja, untuk staf makmal dan staf kilang production?
4. Adakah ibadah saya sebelum ini diterima, walaupun di dalam keadaan was-was, kerana saya tahu yang bahan tersebut mengandungi gelatin dan sekadar menepuk permukaan pakaian saya sebelum mengambil wuduk?
Segala kerjasama dan jasa baik daripada pihak Tuan/Puan amat dihargai, dan dapat memberi penjelasan yang terperinci dan mudah untuk difahami.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan-persoalan puan tersebut, maka jawapan-jawapannya adalah seperti berikut:
1. Jika benar-benar telah dipastikan bahawa gelatin atau serbuk Vitamin A tersebut berasal daripada babi, maka ianya dihukum sebagai najis mughallazah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 3:
Maksudnya: Diharamkan kepada kalian bangkai, darah dan daging babi…
Dalam mazhab Shafi’i, walaupun najis mughallazah dan turunannya telah berubah zat dan sifat, ianya tetap kekal sebagai najis mughallazah. Kaedah penyuciannya adalah dengan tujuh kali basuhan, yang pertama dengan air bercampur tanah yang dipanggil sertu.
Seterusnya, najis tidak semestinya berpindah kepada setiap tempat yang bersentuhan dengannya. Contohnya, jika bahan tersebut berada dalam keadaan kering, kemudian habuknya terkena pakaian atau permukaan lain yang juga kering, maka tidak dihukum berlaku perpindahan najis. al-Suyuti menulis dalam al-Ashbah wa al-Nazair:
Maksudnya: Apabila najis bertemu dengan benda suci yang kedua-duanya dalam keadaan kering, maka benda suci tersebut tidak menjadi najis.
Apabila serbuk tersebut dimasukkan ke dalam solution yang disebutkan dan menjadi basah bahkan terlarut sekalipun, ianya masih lagi najis mughallazah
Peralatan yang terkena bahan tersebut dalam keadaan basah pula hendaklah dicuci sehingga hilang kesan najis dengan kaedah penyucian seperti yang telah disebutkan. Namun, perlu dipastikan berlaku sentuhan sebenar.
2. Dalam keadaan serbuk tersebut kering dan pakaian juga kering, tidak perlu disertu hanya kerana kemungkinan habuk najis telah berterbangan dan mungkin terkena pakaian. Begitu juga, sekadar berada dalam makmal yang menjalankan ujian tersebut tidak menjadikan seseorang itu najis. Dalam fiqh, hukum tidak dibina atas sangkaan semata-mata. Kaedah fiqh berbunyi:
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.
Adapun, sekiranya dapat dipastikan bahawa habuk tersebut telah terkena pada pakaian atau tubuh badan, maka puan perlu menyertu bahagian terbabit bagi memastikan diri dan pakaian dalam keadaan suci semasa mengerjakan ibadah.
3. Dari sudut ihtiyat (berhati-hati), beberapa langkah boleh dilakukan:
- Menggunakan glove ketika menimbang dan mengendalikan bahan.
- Menggunakan pelitup muka jika prosedur keselamatan makmal memerlukannya bagi mengelakkan penyedutan habuk.
- Mengendalikan bahan di kawasan yang sesuai khususnya bagi bahan berbentuk serbuk.
- Mengasingkan peralatan yang digunakan untuk pengendalian bahan tersebut.
- Jika berlaku tumpahan atau sentuhan basah yang disahkan, lakukan proses penyucian yang sesuai.
- Pekerja tidak perlu menganggap seluruh pakaian, badan dan kawasan makmal sebagai najis hanya kerana bekerja berdekatan bahan tersebut.
- Sebelum solat, memadai melakukan pemeriksaan secara munasabah bukan mencari-cari najis yang tidak pasti.
4. Ibadah yang telah dilakukan tidak batal hanya kerana was-was. Maka, tidak diwajibkan mengulangi solat-solat terdahulu hanya kerana kemungkinan terdapat habuk najis yang tidak disedari.
Tambahan pula, apabila seseorang telah selesai melakukan ibadah dan kemudian timbul keraguan tentang kesuciannya, keraguan tersebut tidak boleh dijadikan asas untuk menghukum ibadahnya batal tanpa kepastian yang kukuh.
Sekian, terima kasih.