BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai hukum haid dan istihadah berdasarkan situasi yang saya alami.

Saya mula didatangi haid pada 16 Julai 2026 dan darah masih berterusan sehingga hari ini, 10 Ogos 2026.

Apabila memasuki hari ke-16 daripada tarikh mula haid, saya telah mandi wajib dan mula menunaikan solat fardu seperti biasa kerana telah melebihi tempoh maksimum haid. Pada hari ke-16 dan hari-hari berikutnya, darah yang keluar hanya sedikit dan kebiasaannya tidak melekat pada tuala wanita. Namun, apabila diperiksa terdapat sedikit kesan darah.

Pada 10 Ogos 2026, ketika saya ingin menunaikan solat Subuh, saya mendapati darah keluar dengan banyak pada tuala wanita dan keadaannya kelihatan seperti permulaan haid yang biasa saya alami.

Disebabkan saya was-was sama ada darah tersebut merupakan haid yang baru atau masih darah istihadah, saya tetap menunaikan solat fardu Subuh pada hari tersebut.

Mohon penjelasan pihak Jabatan Mufti:

  1. Adakah darah yang keluar dengan banyak pada 10 Ogos 2026 boleh dikira sebagai permulaan haid yang baru, atau masih dikategorikan sebagai darah istihadah?

  2. Sekiranya ia masih darah istihadah, bilakah tarikh paling awal darah yang keluar boleh dikira sebagai haid yang baru?

  3. Adakah tindakan saya untuk terus menunaikan solat Subuh pada 10 Ogos 2026 adalah betul?

  4. Sekiranya darah tersebut sebenarnya dikira sebagai haid, adakah terdapat apa-apa perkara yang perlu saya lakukan berkaitan solat yang telah ditunaikan?

Mohon pihak Jabatan Mufti memberikan penjelasan supaya saya dapat melaksanakan ibadah dengan betul dan tidak terus berada dalam keadaan was-was.

Terima kasih atas penjelasan pihak tuan/puan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Tempoh maksimum bagi kitaran haid adalah 15 hari 15 malam manakala tempoh minimumnya adalah sehari semalam (24 jam). Darah yang keluar berterusan melebihi tempoh maksimum haid, ia menunjukkan berlakunya percampuran antara darah haid dan darah Istihadhah. Bagi menentukan perbezaan darah haid atau Istihadah, ia boleh dikenal pasti dengan dua kaedah, iaitu perbezaan warna darah (kaedah Tamyiz) dan kaedah Adat kebiasaan: 

  1. Kaedah tamyiz (membezakan) jenis darah dengan menentukan darah yang kuat dan lemah melalui perbezaan warna darah tersebut. Darah kuat dianggap sebagai darah haid sebaliknya darah lemah adalah darah Istihadah. Jika tidak dapat dibezakan darah, boleh menggunakan kaedah kedua;
  2. Kaedah adat. Kaedah ini adalah dengan melihat adat kebiasaan tempoh haid puan pada bulan yang paling hampir. Sebagai contoh, tempoh kebiasaan haid adalah 7 hari, dan suci 23 hari. Maka haid puan hanya 7 hari selebihnya adalah darah istihadhah.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, saudari mengalami pendarahan secara berterusan selama 25 hari, iaitu dari 16 Julai 2026 hingga 10 Ogos 2026. Tempoh ini melebihi had maksimum haid, iaitu 15 hari 15 malam. Keadaan ini menunjukkan terdapat percampuran antara darah haid dan darah istihadah.

Dalam situasi sebegini, saudari tidak boleh terus menghukum bahawa 15 hari 15 malam pertama (16 Julai 2026 hingga 31 Julai 2026) adalah haid. Sebaliknya, saudari perlu terlebih dahulu menggunakan kaedah tamyiz, iaitu membezakan sifat darah yang keluar berdasarkan warna, kepekatan dan ciri-cirinya bagi keseluruhan tempoh pendarahan tersebut.

Oleh yang demikian, hukum darah yang keluar pada 10 Ogos 2026 sama ada sebagai haid atau istihadah bergantung kepada hasil pembezaan sifat dan jenis darah yang keluar sepanjang tempoh pendarahan tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 6

message user image