Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum . saya ingin bertanya , jika saya bernazar untuk melakukan perkara yang wajib dan harus , contoh :- ( jika saya jumpa barang yang saya yang hilang , saya akan solat 5 waktu dan berpuasa 2 hari ) adakah sah nazar yang saya niat dan lafaskan ni ? harap dapat jawap persoalan ini . terima kasih .
Jawapan
Secara umumnya, nazar adalah mewajibkan ke atas diri sendiri perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang pada asalnya tidak ditentukan atau diwajibkan dalam syarak, sama ada secara mutlak ataupun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. Hukum asal nazar adalah wajib ditunaikan sekiranya ia adalah suatu bentuk ketaatan.
Beradasarkan kepada soalan yang diajukan, solat lima waktu adalah suatu kewajipan yang telah ditetapkan oleh syarak. Apabila seseorang bernazar untuk melakukan sesuatu yang memang wajib, maka nazar tersebut tidak mewajibkan perkara itu dua kali. Maka nazar tersebut tidak sah, dan tetap wajib solat fardu walaupun barang itu tidak dijumpai.
Adapun mengenai puasa sunat pula adalah perkara yang harus dan digalakkan dalam Islam. Apabila seseorang bernazar untuk berpuasa sunat, maka nazar tersebut adalah sah dan wajib ditunaikan sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu menemui barang yang hilang.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya : “Barangsiapa yang bernazar kepada Allah untuk mentaati-Nya, maka taatilah dan barangsiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepada-Nya, maka janganlah bermaksiat kepada-Nya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Sekian, terima kasih.