Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Di masjid kami selalu diadakan bacaan quran seperti surah Yassin (malam jumaat) dan Al Mulk (selepas Isyak) dengan suara nyaring lagi kuat sebaik sahaja selepas solat fardhu sehingga jemaah masbuk dan jemaah lain yang solat sunat badiah terganggu. Setahu saya hukum membaca quran dengan kuat hingga menganggu jemaah lain adalah berdosa. Mohon pencerahan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, membaca al-Quran secara berjemaah atau bersendirian merupakan amalan yang baik dan dianjurkan. Namun demikian, setiap ibadah hendaklah dilakukan dengan mengambil kira keadaan dan hak orang lain, khususnya di dalam masjid.
Dalam isu ini, jika bacaan al-Quran dengan suara yang kuat benar-benar mengganggu jemaah yang sedang menyempurnakan solat, sama ada jemaah masbuk atau mereka yang sedang menunaikan solat sunat ba'diah, maka suara bacaan tersebut hendaklah diperlahankan atau ditangguhkan sehingga tidak menimbulkan gangguan.
Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Janganlah sebahagian kamu mengganggu sebahagian yang lain dan janganlah kamu meninggikan suara antara satu sama lain dalam bacaan.” (Riwayat Abu Dawud)
Kesimpulannya, bukan bacaan Surah Yasin atau Surah al-Mulk itu yang menjadi masalah, bahkan ia merupakan amalan yang baik. Namun, cara pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan keadaan. Sebaiknya bacaan dilakukan dengan kadar suara yang sederhana supaya tidak mengganggu jemaah yang masih menunaikan solat atau sedang beribadah.
Dalam perkara ini, memelihara kekhusyukan dan tidak mengganggu orang lain adalah tuntutan yang perlu diberi perhatian, kerana sesuatu amalan yang baik tidak seharusnya dilaksanakan dengan cara yang menjejaskan ibadah orang lain.