Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1) Baru-baru ini saya terbaca tentang qazaf, saya juga baca contoh lafaz dan syarat qazaf tersebut untuk mengetahui lebih lanjut. Kemudian, saya terlintas "A telah berzina", masa itu mulut saya bergerak sedikit tapi tiada suara dikeluarkan, adakah itu dikira lafaz qazaf ? Sbb saya tiada niat dan ianya berlaku secara terlintas
2) Kalau seseorang itu telah menaip komen lafaz qazaf di sosial media tetapi kemudian tidak jadi,adakah dikira qazaf atau tidak?
3) Jika seseorang itu pernah mempelajari tentang Qazaf di sekolah dan telah lupa setelah bertahun, dan melakukan qazaf kerana lupa ianya haram , adakah ianya dikira qazaf ?
4) Kalau lafaz qazaf tidak didengari oleh orang lain , adakah dikira sah?
Jawapan
Secara umumnya, Qazaf adalah tuduhan zina yang dilemparkan kepada seseorang yang suci (muhsan) tanpa mendatangkan 4 orang saksi yang adil. Ia merupakan salah satu dosa besar dalam Islam dan boleh dikenakan hukuman hadd 80 sebatan jika memenuhi syarat-syarat tertentu.
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Dalam situasi lafaz qazaf tanpa suara iaitu dalam keadaan lintasan di hati dan mulut bergerak sedikit tanpa suara yang jelas: Qazaf yang boleh dikenakan hukuman hadd memerlukan lafaz atau bentuk penyampaian yang jelas dan difahami, sama ada secara lisan, tulisan atau isyarat yang diiktiraf. Maka dalam situasi yang disebutkan, ia tidak dikira sebagai qazaf yang boleh dikenakan hukuman. Ini kerana niat sahaja tanpa perbuatan atau perkataan yang jelas tidak mencukupi untuk menetapkan hukuman. Namun, perlu diingat bahawa memikirkan perkara buruk tentang orang lain adalah tidak dibenarkan dalam Islam.
2. Dalam situasi menaip komen lafaz qazaf di media sosial tetapi tidak jadi dihantar, maka ia tidak dikira sebagai qazaf yang boleh dikenakan hukuman. Ini kerana perbuatan menaip itu sendiri belum mencapai tahap penyebaran atau pengisytiharan yang diperlukan untuk menetapkan qazaf. Qazaf memerlukan tuduhan itu sampai kepada orang lain, sama ada melalui lisan, tulisan, atau isyarat yang difahami.
3. Dalam situasi melakukan qazaf kerana lupa ia haram setelah bertahun-tahun mempelajarinya: Lupa (nisyan) secara umumnya boleh menjadi faktor yang meringankan atau menghapuskan dosa dalam beberapa keadaan, terutamanya jika ia melibatkan hak Allah semata-mata. Namun, dalam kes qazaf, ia melibatkan hak manusia dan juga hak Allah. Oleh itu, langkah pertama adalah memohon kemaafan daripada pihak telah dituduh, jika tidak mampu maka bertaubat dan mohinlah keampunan daripada Allah SWT atas kesilapan dan dosa yang dilakukan.
4. Lafaz qazaf yang tidak didengari oleh orang lain belum dikira sebagai jenayah qazaf.
Justeru, umat Islam hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan qazaf yang boleh mencemarkan maruah dan kehormatan seseorang, serta sentiasa menjaga lisan, tulisan dan segala bentuk komunikasi daripada membuat tuduhan zina tanpa bukti yang ditetapkan oleh syarak.
Sekian, terima kasih.
Ulasan:
Secara umumnya, qazaf adalah tuduhan zina yang dilemparkan kepada seseorang yang suci (muhsan) tanpa mendatangkan 4 orang saksi. Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1.