Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya mengalami masalah keputihan yang agak kerap. Biasanya saya akan beristinjak, lalu ambil wudhu, kemudian saya terus solat. Saya ingin mendapatkan kepastian, dalam keadaan keputihan yang berterusan, adakah saya perlu meletakkan kapas berhampiran faraj ketika solat untuk menghalang keputihan daripada keluar?
Jawapan
Ya, puan perlu meletakkan sesuatu seperti tuala wanita untuk menghalang keputihan daripada keluar dan mengotori anggota badan atau pakaian.
Bagi seseorang yang mengalami masalah keputihan yang berterusan, ia disebut sebagai daimul hadas (sentiasa berhadas). Bagi mereka yang mengalami masalah atau penyakit seperti ini, syarak telah menetapkan beberapa langkah atau kaedah untuk bersuci:
a) Sucikan diri daripada najis keputihan dengan membasuh kemaluan. Kemudian gunakan pantyliner, lampin atau seumpamanya untuk mengelakkan keputihan daipada keluar.
b) Setelah itu, sucikan diri daripada hadas dengan mengambil wuduk. Kedua-duanya (membasuh faraj dan berwuduk) mesti dilakukan setelah masuk waktu solat.
c) Segera tunaikan solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang walau pun najis tetap keluar ketika sedang berwuduk dan solat.
d) Satu wuduk hanya boleh digunakan untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak ibadah sunat yang lain.
e) Ketika mengambil wuduk hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wuduk. Contohnya; ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wuduk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wuduk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama cair keputihan sentiasa mengalir keluar dari kemaluan kerana perkara tersebut membatalkan wuduk.
Sekian, terima kasih.