BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

assalamualaikum. saya agak keliru berkenaan pergerakan 3 kali yang membatalkan solat. ketika bangun dari sujud, saya rasa kaki saya terkeluar dari kain, jadi saya segera tutup dengan gerakkan tangan ke bawah, tarik kain untuk tutup kaki dan naikkan tangan kembali. adakah ini dikira pergerakan 3 kali berturut? waktu solat tersebut saya rasa macam pergerakan saya okay sahaja. bila dah habis jadi risau pulak dan dah keliru saya ada berhenti atau tidak selepas satu pergerakan. mohon penjelasan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام رحمة الله وبركاته 
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, pergerakan tersebut tidak semestinya dikira sebagai tiga kali pergerakan besar yang berturut-turut yang membatalkan solat. Tambahan pula, pergerakan menarik kain untuk menutup kaki merupakan pergerakan yang dilakukan atas dasar keperluan bahkan kewajipan iaitu untuk menjaga aurat.

Dalam mazhab Syafi‘i, pergerakan yang banyak secara berturut-turut boleh membatalkan solat apabila ia sampai kepada kadar yang dianggap banyak iaitu tiga kali berturut dengan anggota tubuh badan yang besar seperti tangan dan kaki serta dilakukan dengan sengaja tanpa hajat keperluan. Jika ketika solat saudara merasakan pergerakan itu masih terkawal dan dilakukan kerana terdapat hajat keperluan atau kewajipan maka solat tersebut masih sah dan tidak dihukumkan sebagai batal.

Selain itu, keraguan yang datang selepas selesai solat seperti ini tidak perlu dilayan, sebagaimana kaedah Fiqh ada menyatakan, iaitu:

 الْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: Keyakinan tidak hilang dengan sebab keraguan. 

Kaedah ini bersumberkan prinsip yang ditunjukkan dalam hadis Rasulullah SAW, antaranya apabila seseorang ragu-ragu dalam solat sama ada berlaku sesuatu atau tidak, Baginda mengarahkan agar dia berpegang kepada perkara yang diyakininya dan tidak berpaling kepada keraguan. Oleh itu, keyakinan bahawa solat telah dilaksanakan dengan sempurna tidak gugur hanya disebabkan keraguan yang muncul selepas selesai solat. Sehubungan itu, solat tersebut dihukum sah dan tidak perlu diulang.  

 .والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 1

message user image