Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam , Saya ingin bertanya apakah dibolehkan pihak Masjid menjual bahan/alatan terpakai seperti kayu/papan, besi , pinggan mangkuk dan lain-lain yang mana alatan tersebut adalah harta wakaf. Duit yang didapati tersebut digunakan untuk aktiviti Masjid Kedua, Isu pahala saf diantara jemaah perempuan dengan saf jemaah lelaki. Ada yang menyatakan 3 hasta jarak saf diantara saf akhir lelaki dan saf pertama wanita baru ada pahala saf bagi wanita tersebut. mohon penjelasan Sekian mohon jawapan
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan; 1. Diharuskan kepada pihak masjid untuk menjual peralatan yang diwakafkan seperti kayu, papan, besi, pinggan dan duit hasil jualan tersebut hendaklah digunakan untuk beli peralatan lain yang diperlukan sebagai ganti, supaya amal jariah pewakaf sentiasa berterusan. Perkara ini distilahkan sebagai wakaf istibdal dan usaha pihak pengurusan surau atau masjid dalam membantu meneruskan amal kebajikan orang lain merupakan satu ibadah dan termasuk di dalam perkara tolong menolong kepada perkara kebaikan, seperti suruhan Allah SWT ; Maksudnya ; “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan, dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”. (al-Maidah : 2) 2. Berkaitan jarak saf didalam solat, perkara ini dijelaskan di dalam kitab Al Mu’tamad Fi Al Fiqh Ash Syafi’e Karangan Prof. Dr. Muhammad Az Zuhaili, “jika imam dan makmum berada didalam masjid yang sama, maka sah makmum solat mengikut imam walaupun kedua - duanya solat berjauhan. Dalam situasi saf wanita, maka dibolehkan jarak saf wanita berjauhan dari saf terakhir lelaki meskipun melebihi 3 hasta dengan syarat masih berada di dalam masjid yang sama. Adapun jika imam dan makmum solat berjamaah di bangunan selain masjid seperti surau atau tempat lapang, disyaratkan jarak diantara saf terakhir lelaki dan saf pertama wanita tidak melebihi 300 hasta iaitu 150 meter. Dinyatakan di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik R.A, sesunguhnya Nabi S.A.W bersabda; رُصُّوا صُفُوفَكُمْ وَقَارِبُوا بَيْنَهَا وَحَاذُوا بِالْأَعْنَاقِ , فوالذي نفسي بيده إني لأرى الشيطان يدخل من خلل الصف كأنه الحذف Maksudnya ; “Rapatkan saf-saf kamu (rapatkan diantara setiap orang di dalam saf yang sama), dan dekatkan diantara saf-saf kamu (dekatkan di antara saf dengan saf hadapan dan belakang), dan selarikan (samakan) leher - leher kamu ( leher , tumit , bahu , betis dan kaki). Demi Zat yang diriku berada di dalam”. (Riwayat Abu Daud) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.