Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, SS Mufti.
Saya nak bertanya. Apakah hukum jika seller tersilap beritahu customer jumlah atau nilai free gift yang mereka bagi? Adakah menjejaskan jual beli di awal tadi? Adakah seller perlu beritahu semula customer nilai free gift yang betul kerana terlalu ramai customer. Cth seller beritahu nilai free gift bernilai hampir RM50, namun tersilap rupanya hampair RM40 sahaja.
Jazakumullahu khayra.
Jawapan
Hukum asal memberi atau menerima free gift (hadiah percuma) adalah harus dan dibenarkan dalam Islam. Ia dianggap sebagai sedekah atau hibah, selagi produk tersebut halal dan tiada unsur penipuan, manipulasi harga, atau perjudian.
Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:
Maksudnya: Dan Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
Namun, pemberian free gift ini seringkali terdedah dengan unsur menipu dan manipulasi. Sekiranya ini berlaku, urusniaga itu adalah haram, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Kathir bin 'Amr bin 'Awf Al-Muzani daripada ayahnya daripada datuknya daripada Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: Dan kaum Muslimin harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram. (Riwayat al-Tarmizi)
Namun, dalam persoalan ini berlakunya kesilapan yang tidak disengajakan disebabkan pelanggan yang ramai atau salah faham yang berlaku dalam kalangan pekerja, maka urusniaga itu masih sah dan diharuskan. Sebaiknya perbaiki isu ini bagi memastikan perkara ini tidak berlaku di masa hadapan dan bagi mengelakkan urusniaga yang menipu semata-mata untuk menarik pembeli. Rasulullah SAW juga telah memberi peringatan tentang sikap menipu.
Riwayat Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada golonganku (Riwayat Muslim)
Sekian, terima kasih