Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam. Saya ingin bertanya tentang faraid. Adakah duit si mati yang dikeluarkan dahulu untuk bayaran perubatan, kemudiannya dibuat tuntutan semula dari JPA setelah kematiannya perlu dibahagikan dengan kaedah faraid? Atau ianya dianggap seperti tuntutan takaful/pampasan kepada penama? Mohon pencerahan terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan, jika duit yang dituntut semula daripada JPA bagi bayaran perubatan si mati selepas kematiannya merupakan gantian duit si mati yang telah digunakan untuk rawatan, maka duit tersebut dianggap sebagai harta pusaka si mati dan perlu dibahagikan mengikut hukum faraid. Hal ini kerana duit tersebut merupakan tuntutan yang dibuat daripada kelayakan beliau sebagai penjawat awam atau pesara.
Sekian, terima kasih.