BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt kepada seluruh jabatan mufti negeri Selangor, semoga semua dalam keadaan sihat belaka.

Soalan:

Apakah hukum seseorang berkerja sebagai pegawai IT atau seumpamanya yang membantu dalam penyelenggaraan software dan database di sebuah syarikat insurans konvensional? Dan bagaimanakah status gaji mereka?

Syarikat tersebut menawarkan insurans konvensional sebagai perkhidmatan utama, dan takaful sebagai perkhidmatan lain namun tidak di perincikan pendapatan nya bagaimana.

 

Sekian terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, hukum bekerja sebagai pegawai teknologi maklumat (IT) di syarikat insurans konvensional bergantung pada skop tugas yang dilaksanakan.

Pertama: Sekiranya tugas hanya melibatkan urusan teknikal umum seperti penyelenggaraan komputer, rangkaian dan sistem dalaman syarikat yang tidak berkaitan secara langsung dengan operasi insurans konvensional, maka pekerjaan tersebut adalah harus dan gaji yang diterima adalah halal.

Kedua: Sekiranya tugas melibatkan pembangunan atau penyelenggaraan sistem yang secara khusus digunakan untuk mengurus polisi, kutipan premium, tuntutan atau urusan utama insurans konvensional, maka pekerjaan tersebut perlu dielakkan kerana ia membantu melaksanakan operasi yang bercanggah dengan prinsip Syariah.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ma’idah, ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Kesimpulannya, pekerjaan IT di syarikat insurans konvensional adalah harus sekiranya tugasnya tidak terlibat secara langsung dengan operasi insurans yang bercanggah dengan Syariah. Sebaliknya, jika tugasnya secara khusus membantu mengendalikan operasi tersebut, maka pekerjaan itu hendaklah dielakkan. Status gaji pula dinilai berdasarkan skop tugas sebenar yang dilaksanakan.

Sila tekan pautan berikut untuk rujukan berkaitan hukum insurans konvensional ialah: 

HUKUM MEMPROMOSIKAN PRODUK INSURANS KONVENSIONAL MENURUT PERSPEKTIF SYARIAH

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 37

message user image