Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, dan salam sejahtera tuan.
Apakah hukum menyertai groupchat (sama ada di WhatsApp/Telegram/Discord/Instagram/Tiktok) yang mempunyai lelaki dan perempuan yang selalu bersembang?
Saya seorang pelukis digital, hal ini bukanlah pekerjaan tetap dan hanya sekadar hobi. Maka saya ada join satu 'Art Groupchat' di mana pelukis-pelukis digital dari negara lain berkomunikasi dan berbincang. Saya dah left yang dekat TikTok sebab banyak mencarut.
Sekarang saya join 'Art Groupchat' di Instagram yang memang sebenarnya untuk budak bawah umur dan memang penuh dengan peraturan. Tak boleh mencarut, send lukisan tak elok dan sebagainya. Jadi dalam group ni, selalunya orang akan sembang ataupun share lukisan antara satu sama lain. Ataupun minta nasihat (jarang) dan sembang-sembang tentang rancangan kartun ataupun event (macam art fight). Jadi persoalan saya di sini, apakah hukum menyertai group ini? Adakah saya boleh ikut sembang ataupun hanya sembang bila saya nak collab (gabung karya)? Patutkah saya left terus?
Terima kasih atas pencerahan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, tindakan anda untuk left daripada kumpulan yang banyak mencarut adalah satu keputusan yang sangat tepat demi menjaga hati dan agama. Pada asasnya, hukum menyertai group chat yang bercampur antara lelaki dan perempuan adalah harus, dengan syarat perbincangan di dalam kumpulan tersebut mempunyai tujuan yang jelas, bermanfaat dan menjaga batas syarak dalam pergaulan dan seumpamanya.
Pergaulan dalam group chat di media sosial hendaklah sentiasa berlandaskan adab dan akhlak Islam, termasuk menjaga tutur kata, mengelakkan perbualan yang tidak bermoral serta memastikan interaksi yang berlaku tidak melanggar batas-batas Syariah. Oleh itu, seseorang Muslim hendaklah bijak memilih kumpulan yang disertai agar aktiviti dan pergaulan tersebut tidak membawa kepada perkara yang dilarang oleh agama.
Kesimpulannya, seseorang Muslim digalakkan memilih persekitaran media sosial yang baik, menjaga adab dalam pergaulan serta menjauhi kumpulan yang boleh mempengaruhi diri ke arah perkara yang tidak baik. Tindakan meninggalkan kumpulan yang dipenuhi dengan kata-kata kesat merupakan langkah yang wajar, dan sikap berhati-hati dalam memilih pergaulan dapat membantu memelihara agama serta akhlak diri.
Sekian, Terima Kasih.