Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin mendapatkan kepastian tentang status haid saya.
Saya sekarang berada pada hari ke-7 haid. Sebelum ini darah telah berhenti. Saya telah mendapati cecair yang sangat jernih/transparent sebanyak tiga kali — pada waktu malam, waktu pagi dan sekali lagi sebelum mandi wajib. Cecair tersebut bukan seperti keputihan biasa saya yang berwarna putih dan agak pekat/berlendir seperti susu. Cecair yang saya lihat ketika itu lebih transparent dan tidak berwarna putih pekat. Oleh sebab itu, saya menganggapnya sebagai tanda suci dan telah mandi wajib serta menunaikan solat.
Namun selepas itu, sekitar waktu Zuhur, saya mendapati sedikit cecair berwarna kekuningan pada pantyliner.
Untuk makluman, keputihan biasa saya selama ini kebanyakannya berwarna putih dan berlendir. Jika terdapat sedikit kekuningan, ia biasanya berlaku selepas saya melakukan aktiviti yang berat dan sebelum ini berlaku di luar tempoh haid. Pada hari ini pula saya tidak melakukan aktiviti berat.
Jadi saya ingin bertanya:
1. Adakah cecair yang sangat jernih/transparent yang saya lihat tiga kali itu boleh dianggap sebagai qassah baydha’ (tanda suci)?
2. Jika ya, adakah cecair kekuningan yang keluar semula pada hari ke-7 selepas saya mandi wajib masih dikira darah haid menurut mazhab Syafi‘i?
3. Bagaimanakah status mandi wajib dan solat yang telah saya lakukan selepas melihat cecair jernih tersebut?
4. Untuk solat seterusnya, adakah saya perlu menganggap diri saya masih dalam haid sehingga cecair kekuningan itu berhenti, atau saya perlu melakukan sesuatu yang lain?
Terima kasih..
Jawapan
1. Ya, cecair yang sangat jernih/transparent yang puan lihat itu boleh dianggap sebagai qassah baydha’ (tanda suci).
2. Cecair berwarna kekuningan itu keluar dalam tempoh tidak melebihi maksimum 15 hari haid, maka ia boleh dianggap sebagai darah haid.
3. Mandi wajib dan ibadah solat yang dilakukan ketika naqa' yang dihukumkan haid, iaitu dalam keadaan tidak mengetahui ketika itu haid, maka solat yang didirikan adalah tidak sah, namun tidak dianggap sebagai berdosa. Malahan mendapat pahala kerana mentaati perintah Allah SWT. Hendaklah mandi wajib semula setelah suci.
4. Cecair kekuningan itu adalah darah haid. Maka, tidak boleh mandi wajib. Mandi wajib dan bersolat sehingga tiada lagi darah yang keluar.
Sekian. Terima kasih.