BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan, minta izin bertanya.

Saya ingin bertanya mengenai cara menyucikan hidung yang bernajis. Saya keliru kerana hidung tidak sama seperti keadaan mulut yang boleh disucikan dengan berkumur-kumur.

Situasinya, hidung saya basah dan berhingus. Ketika hingus meleleh keluar, tangan basah saya menggapai kain bernajis kemudian mengelap hingus pada hidung saya. Hingus tidak sepenuhnya terkesat lalu saya menyedut semula lebihan hingus masuk ke dalam hidung dan tertelan. Ketika itu saya sedar yang tangan dan kawasan hidung saya telah tercemar dengan najis. Cumanya saya bingung cara menyucikan kawasan hidung terutamanya kawasan dalam hidung. Selepas kejadian, saya cuma melalukan air ke kawasan luar hidung sahaja. Kawasan dalam hidung pula tidak dilalukan air. Jadinya saya ingin bertanya bagaimana caranya menyucikan hidung bernajis yang betul. Adakah saya perlu melalukan air ke dalam hidung dengan bidet atau perlu istinsyak? Saya kurang yakin  hendak instinsyak kerana tidak reti menarik air ke dalam hidung, kadang-kadang sedut sedikit sangat hingga pada bahagian depan hidung sahaja dan kadang terlebih sedut dan tertelan. Dan bagaimana pula kalau ketika melalukan air dalam hidung, bahagian dalam hidung masih basah berbaki hingus terkena najis? Adakah perlu tunggu hidung kering? Mohon pencerahan, tuan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, najis telah berpindah ke tangan dan bahagian luar hidung saudara sekiranya kain tersebut benar-benar bernajis, iaitu terdapat ain najis padanya. Jika najis pada kain itu ialah najis mutawassitah seperti darah, najis haiwan atau air kencing, maka saudara hanya perlu membasuh tangan dan bahagian luar hidung yang terkena kain tersebut dengan air mutlak sehingga hilang ain najis.

Adapun bahagian dalam hidung yang hanya disyaki terkena kain bernajis tersebut adalah dimaafkan dan tidak perlu dihukumkan sebagai bernajis. Hal ini kerana hukum asal bahagian dalam hidung adalah suci sehingga terdapat keyakinan bahawa najis benar-benar telah mengenainya. Oleh itu, saudara boleh melakukan istinsyak sebagai langkah membersihkan hidung, namun ia bukan suatu kewajipan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 34

message user image