Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan kesilapan saya dalam solat semasa remaja dahulu.
Semasa saya berumur sekitar 13 tahun, saya pernah mendengar ceramah seorang ustaz yang menyatakan bahawa selepas berwudhuk, boleh menunaikan solat sunat wudhuk. Saya pada waktu itu berfikir bahawa dengan menggabungkan niat solat fardhu bersama niat solat sunat wudhuk dalam satu solat, saya akan memperoleh pahala yang lebih. Justeru, setiap kali menunaikan solat fardhu, saya turut menggabungkan niat solat sunat wudhuk sekali.
Saya tidak pasti tepat berapa lama tempoh ini berlaku, namun saya anggarkan sekitar beberapa bulan kerana saya ingat bertanya kepada ustaz tersebut pada tahun yang sama. Selepas itu, saya bertanya semula kepada ustaz tersebut dan diberitahu bahawa niat sebegini tidak boleh digabungkan.
Soalan saya:
1. Adakah solat fardhu yang saya tunaikan sepanjang tempoh tersebut sah, memandangkan niat asal saya tetap untuk menunaikan solat fardhu tetapi turut disertakan niat sunat wudhuk?
2. Perlukah saya qadha semula solat-solat fardhu tersebut? Jika perlu, sebanyak mana saya perlu qadha solat tersebut?
3. Memandangkan kesilapan ini berlaku semasa saya remaja (sudah baligh) dan atas dasar kejahilan iaitu tidak mengetahui hukum sebenar disebabkan salah faham daripada ceramah yang didengari, adakah ini memberi sebarang keringanan dalam hukum ini?
4. Jika saya tidak menggantikan (qadha) solat-solat tersebut, adakah ia turut menjejaskan penerimaan solat-solat sunat lain yang saya tunaikan?
Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1) Solat sunat terbahagi kepada dua: Maqsudah dan Ghayr Maqsudah. Solat Sunat Wudhuk adalah salah satu solat sunat Ghayr Maqsudah. Justeru, solat fardhu boleh digabungkan dengan solat sunat Ghayr Maqsudah seperti solat sunat wudhuk. Perkara ini disebutkan oleh Imam Nawawi, katanya:
Maksudnya: Sekiranya digabungkan niat Tahiyyatul Masjid ke dalam solat fardu atau solat sunat (Maqsudah) maka ia tidak merosakkan solat tersebut kerana ia terhasil secara tidak langsung dan tidak menjejaskan niatnya.
Adapun kesemua kategori solat sunat Maqsudah dengan solat sunat Maqsudah yang lain atau solat Fardhu adalah tidak boleh digabungkan. Imam Nawawi menyatakan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, katanya:
Maksudnya: Berkata ashab kami, tidak boleh berniat mengerjakan solat Jumaat dan solat sunat Gerhana Matahari dalam satu solat kerana berlaku penggabungan antara perkara fardu dan sunat (Maqsudah).
Walau bagaimanapun, hendaklah ditegaskan bahawa jika solat-solat sunat tersebut dilaksanakan secara berasingan iaitu setiap solat dengan satu niat, maka hal tersebut lebih afdhal. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:
Maksudnya: Apa yang lebih banyak perbuatannya, maka lebih banyak pahalanya.
2) Justeru, menjawab soalan kedua, ketiga dan keempat adalah merujuk kepada hukum menggabungkan solat sunat dan solat fardhu adalah diharuskan, maka solatnya sah dan tidak perlu diganti semula.
Sekian, terima kasih.