BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

Saya ingin bertanya, di kawasan perumahan saya ingin membina sebuah masjid. Antara cadangan Biro Pendanaan bagi menggalakkan sumbangan daripada semua pihak, kami bercadang untuk membina sebuah tugu atau galeri di luar ruang utama masjid yang mempamerkan gambar-gambar penyumbang?

Soalan kedua, adakah boleh kita menerima sumbangan daripada non muslim untuk pembinaan masjid?

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, pembinaan apa jua bentuk binaan sama ada monumen, tugu atau sebagainya sebagai tanda peringatan adalah dilarang. Amalan ini jelas ditegah oleh Islam sekiranya binaan tersebut merupakan ukiran patung manusia atau haiwan. Apa jua bentuk binaan atau ukiran, jika ia bertujuan untuk diagung-agungkan dan bersifat membazir, ia amat ditegah oleh Islam. Walau bagaimanapun, jika ia hanya sekadar binaan biasa atau ukiran nama-nama sebagai tanda kenangan sejarah dan tidak berlebih-lebihan, maka ia tiada halangan. 

Daripada Abdullah berkata aku mendengar Nabi SAW bersabda : 

إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ القِيَامَةِ المُصَوِّرُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di Hari Kiamat ialah orang yang membuat gambar (patung). Riwayat al-Bukhari (5950)

Manakala bagi soalan kedua, hukum menerima sumbangan atau harta wakaf daripada non Muslim adalah dibolehkan dan sah penerimaan tersebut. Hal ini termasuklah wakaf yang diberikan kepada masjid-masjid walaupun perbuatan tersebut bukan berniat mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadis daripada Anas bin Malik R.A, daripada Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَظْلِمُ مُؤْمِنًا حَسَنَةً يُعْطَى بِهَا فِي الدُّنْيَا وَيُجْزَى بِهَا فِي الآخِرَةِ وَأَمَّا الْكَافِرُ فَيُطْعَمُ بِحَسَنَاتِ مَا عَمِلَ بِهَا لِلَّهِ فِي الدُّنْيَا حَتَّى إِذَا أَفْضَى إِلَى الآخِرَةِ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَةٌ يُجْزَى بِهَا

Maksudnya: “Allah tidak akan mengabaikan kebaikan seorang mukmin, dia akan diberi ganjaran di dunia dan juga di akhirat. Orang kafir pula akan menerima ganjaran kebaikan yang mereka lakukan kerana Allah semasa di dunia sahaja. Adapun di akhirat kelak, tiada apa-apa habuan dan ganjaran kebaikan untuknya.”  Riwayat Muslim (2808)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 27

message user image