BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt, saya ingin mengajukan soalan.

Saya dilahirkan bukan daripada keluarga yang mengamalkan didikan Islam. Saya belajar solat dan agama di sekolah. Kini saya praktikkan solat itu dalam kehidupan seharian saya. Tetapi hati saya tidak tenang kerana melihat keluarga saya tidak berubah. Sejujurnya saya tiada kekuatan untuk memaksa atau sentiasa mengajak kerana hanya saya seorang yang mempraktikan solat di dalam keluarga. Bagi saya, dakwah pada ahli keluarga itu lebih susah daripada kita berdakwah kepada orang lain. 

Persoalan : 

1. Adakah pada akhirat nanti Allah akan bertanya pasal saya mengapa saya tidak berusaha untuk mengubah ahli keluarga saya mengikut perintah-Nya.

2. Hati saya rasa berat dan risau akan pengakhiran ahli keluarga saya. Bagaimana untuk tangani perasaan ini. 

3. Adakah ada cara lain yang boleh saya lakukan untuk mengajak seluruh ahli keluarga saya mengikut perintah Allah? Andai kata tiada perubahan, adakah saya berdosa?

Harap pihak Tuan/Puan dapat menjawab soalan-soalan ini. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Dakwah kepada ahli keluarga sememangnya suatu perkara yang sangat mencabar. Ini kerana, dengan langkah dakwah yang salah atau tidak berhikmah akan membawa kepada muncul perasaan berkecil hati dalam kalangan keluarga. Oleh itu, menjadi suatu tanggungjawab untuk berdakwah secara berhikmah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 125:

 ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.

Bagi mereka yang tidak menyampaikan kebenaran atau dakwah sedangkan dia tahu akan kebatilan dan dosa yang berlaku, sememangnya akan dipersoalan di akhirat nanti kerana telah termasuk dalam kewajipan amar makruf nahi munkar. Walaupun begitu, dakwah tersebut bukanlah bermaksud mesti memaksa. Dakwah ini mempunyai seninya dan perlu secara berhikmah agar orang yang menerima dakwah itu mudah untuk terima setiap apa yang disampaikan. Bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri RA, sabda Nabi SAW:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka (ubahlah) dengan lisannya. Dan apabila tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Oleh itu, dakwah boleh dengan cara tindakan. Dakwah juga boleh dengan cara nasihat-menasihati. Jika tidak mampu, cukup dengan benci kemungkaran tersebut dan mendoakan ahli keluarga supaya dilembutkan hati untuk menerima hidayah Allah SWT. Apabila telah melakukan salah satu daripada perkara ini, serahkanlah (tawakkal) kepada Allah SWT. Setelah puan berdakwah sama ada dengan cara menasihati dengan lembut atau mendoakan mereka, maka Puan tidak akan berdosa dan tidak dipertanggungjawab lagi di akhirat nanti sekiranya mereka tidak mahu berubah. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 25

message user image