Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya selalu beri kucing saya makanan kucing yang mengandungi meat by-products. Baru sekarang saya tahu bahawa meat by-products juga berkemungkinan berasal daripada babi. Kucing saya juga kadang-kadang makan di luar.
Sekarang, saya hanya memberikan kucing saya makanan yang halal.
Adakah saya perlu sertu diri saya selepas memandikan kucing saya?
Jawapan
Berdasarkan kepada soalan yang dikemukakan, hukum memberi kucing makan daripada makanan yang mengandungi unsur babi adalah tidak menjadi suatu kesalahan. Ini kerana, secara asasnya binatang tidak terikat kepada hukum syariat. Oleh itu, kucing tidak ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) untuk makan daripada sumber yang halal sebagaimana manusia. Selain itu, puan juga tidak perlu menyertu diri selepas memandikan kucing yang makan daripada makanan yang mengandungi babi. Hal ini kerana jelas tidak terdapat sebarang ain babi atau najisnya pada kucing tersebut.
Sekian, terima kasih.