BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Salam sejahtera saya nak bertanya soal apakah hukum saya meminta suami untuk tidak bertegur sapa dengan kakaknya yang telah memfitnah, menyebarkan fitnah tentang saya dan menzalimi saya (dengan sindiran berterusan, serta hinaan kepada fizikal saya, bukan selamanya tapi hanya sehingga kakaknya meminta maaf dan hentikan perbuatannya kepada saya.

Saya dan suami tinggal dirumah mertua maksudnya serumah dengan kakak ipar saya yang belum berkahwin untuk tempoh selama 6 bulan lebih kami tinggal di situ dan sepanjang tempoh itu saya baru bersalin serta sedang menjaga bayi, tetapi waktu itu saya sudah habis tempoh pantang.

Saya ceritakan sedikit, kakak ipar sejak sebelum saya dan suami berkahwin, dia memang selalu meminta tolong dan berharap kepada suami saya untuk menghantarnya kemana-mana, termasuk untuk urusan pergi balik kerja, urusan beli barang (shopping), jalan-jalan makan angin dan sebagainya kerana kakak ipar tidak pandai memandu. Sewaktu awal suami dan saya berkahwin, kakak ipar pernah mula merasa tidak puas hati ketika saya dan suami berpindah ke rumah sendiri, reaksinya marah.

Kemudian setelah hampir setahun berpindah, selepas bersalin pula saya tidak lagi bekerja, jadi untuk ringankan beban suami, kami pindah semula ke rumah ibu bapanya, disitulah bermula salah faham antara saya dan kakak ipar...suami saya kerja shift 16 jam sehari, dia juga jarang dapat cuti, jadi setiap kali kakak ipar minta hantar ke sana sini suami saya kata penat, saya juga sebenarnya agak keberatan kerana saya mahu bantuan suami di rumah untuk menguruskan bayi dan menguruskan kerja-kerja rumah yang ibu mertua tugaskan kepada saya. Jadi kakak ipar marah apabila adiknya tidak dapat memenuhi permintaannya dan dia beranggapan bahawa saya cemburu dengannya, saya menghasut suami saya dengan memburukkan kakak ipar, dan saya sengaja memecahbelahkan hubungan adik beradik, katanya. Perkara ini juga telah keluarga mertua sampai ke pengetahuan ahli keluarga besar mereka yang lain, serta jiran-jiran sekeliling.

Saya telah cuba berbaik dengan kakak ipar, maksudnya ada percubaan daripada saya untuk berusaha mengambil hatinya, suami saya juga begitu, sepanjang tempoh itu juga saya tidak pernah membalas sindiran dan hinaanya. Dia juga kerap menyindir saya didepan suami saya dan ahli keluarga lain, dia menunjukkan sikap tidak menghormati saya sebagai isteri adiknya dan sebagai seorang manusia. Setiap kali dia menyindir saya, ibu bapa mertua hanya senyum seperti suka, suami pula cuba menjawab dan mempertahankan saya dengan lembut, namun kakak ipar masih berterusan melakukan itu semua, selepas itu suami mula menegur kakaknya dengan tegas, tetapi kakaknya tidak berhenti malah semakin berani, suami kemudian mula memberi peringatan secara tertutup hanya dia dan kakak ipar supaya Kakak ipar berhenti memfitnah, memburukkan dan membuli emosi saya, tapi kakak ipar masih lagi dengan perangai sama walaupun saya telah memberi penjelasan kepadanya dan keluarga mertua. Saya juga sudah meminta maaf.

Selepas sudah semua usaha itu dibuat oleh saya dan suami, kakak ipar masih lagi dengan perbuatannya yang negatif terhadap saya, untuk itu saya suami berpindah rumah sekali lagi bagi menjaga jarak, namun kakak ipar masih lagi tidak puas hati malah bertambah pula menyindir di media sosial selepas kami sudah berpindah, dia juga tidak menunjukkan sikap merasa bersalah, tiada meminta maaf, atau bahkan menyesal dengan perbuatannya, dia masih berkelakuan sama sewaktu kami datang melawat keluarga mertua, dia merasakan apa yang disalah fahaminya adalah benar, dia masih merasa dia di pihak yang benar walaupun saya telah memberikan penjelasan dan suami juga dari awal sudah menjelaskan.

Ketika saya sudah sangat letih menahan marah dalam tempoh yang panjang serta dalam keadaan yang baru bersalin, saya mohon kepada suami agar jika dia ke rumah ibu bapanya, dia harus menjaga jarak dengan kakak ipar. Tapi selepas semua yang berlaku kakak ipar masih selamba menyapa suami seperti tiada apa berlaku, saya akui saya marah dengan tindakan kakak ipar dan saya kemudian minta suami untuk tidak bertegur sapa lagi dengan kakaknya kerana tiada perubah positif daripada beliau untuk berhenti membuli emosi saya, adakah saya berdosa? Tidak boleh berbuat demikian? Apa yang perlu saya lakukan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan maklumat yang puan berikan, puan tidak berdosa semata-mata kerana meminta suami menjaga jarak dengan kakaknya yang berterusan memfitnah dan membuli emosi puan, khususnya setelah pelbagai usaha perdamaian telah dilakukan dan tidak membuahkan hasil.

Namun, yang lebih menepati ajaran Islam ialah meminta suami menghadkan dan mengawal interaksi yang perlu, bukan memutuskan hubungan kekeluargaan secara total. Menjaga jarak untuk mengelakkan kezaliman adalah harus, manakala menjaga jarak dengan niat memutuskan silaturahim secara mutlak tanpa keperluan syarie adalah tidak dibenarkan.

Dalam keadaan sekarang, tindakan puan dan suami berpindah rumah serta mengurangkan pendedahan kepada individu yang mendatangkan mudarat emosi sebenarnya merupakan antara langkah yang paling baik untuk menjaga keharmonian rumah tangga dan kesejahteraan mental keluarga puan.

Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada puan, melembutkan hati kakak ipar, serta mengurniakan ketenangan dan keberkatan kepada rumah tangga puan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 6

message user image