Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pernah terdengar orang cakap, kalau seseorang lelaki (contoh: ayah) tu memakai seluar pendek atas daripada lutut melebihi 3 kali, dia tak boleh jadi wali. Mohon penjelasan
Jawapan
Menjawab persoalan saudari, kata-kata orang berkenaan perkara tersebut tiada sandarannya dari segi syarak. Justeru, saudari boleh mendapatkan penjelasan daripada orang yang berkata perkara itu.
Adapun, menurut mazhab Shafi'i ayah kandung, datuk dan seterusnya ke atas merupakan wali mujbir. Iaitu wali yang mempunyai kuasa untuk menikahkan anak perempuan atau cucu perempuannya yang masih dara tanpa keizinan mereka.
Berkenaan aurat, memakai seluar pendek atas daripada lutut dikira mendedahkan aurat, kerana aurat lelaki yang perlu ditutup adalah antara pusat hingga lutut. Seseorang dikira berdosa jika mendedahkan aurat secara sengaja dan jika dilakukan secara berterusan boleh dihukumkan sebagai fasiq. Namun begitu, mengikut pengamalan Jabatan Agama Islam di Malaysia, Penolong Pendaftar Perkahwinan yang bertauliah akan melakukan proses istitabah sebelum melakukan proses pernikahan dengan beristighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT. Mudah-mudahan, melalui proses istitabah ini, mereka dianggap telah bertaubat kepada Allah SWT dan semoga Allah SWT mengampunkan dosa mereka yang telah lalu. Dengan itu, wali tersebut boleh menikahkan anaknya secara sah.
Sekian, terima kasih