Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz saya ingin bertanya untuk mandi wajib adakah boleh dibuat secara bertahap? Saya telah mandi wajib pada sebahagian badan setelah masuk waktu maghrib dan menyambung semula mandi dua jam selepas itu. Adakah sah mandi wajib saya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan pihak tuan/puan, Al-Imam Nawawi menulis dalam Al-Majmu’:
Maksudnya: Adapun berturut-turut/berterusan semasa mandi wajib di sisi Mazhab Syafi’i adalah sunnah
Berdasarkan teks ini, hukum mandi wajib adalah sah walaupun tidak dilakukan berterusan. Walau bagaimanapun ianya dikira khilaf al-awla atau kurang afdal kerana dianjurkan yakni sunnah untuk berterusan semasa mandi wajib.
Tidak menjadi kewajipan di dalam melaksanakan mandi wajib untuk meratakan air ke seluruh anggota badan secara muwalah iaitu berturut tanpa putus. Sebaliknya perkara tersebut adalah disunatkan. Oleh itu, adalah diharus untuk melaksanakan mandi wajib secara berperingkat atau terputus. Seperti peringkat pertama membasuh bahagian leher ke bawah sahaja. Kemudian selang beberapa lama, walaupun air pada badan telah kering, menyambung semula mandi wajib tadi dengan hanya membasuh bahagian leher hingga ke atas sahaja. Walau bagaimanapun, puan perlu berniat semula mandi wajib semasa menyambung semula mandi wajib tadi.
Sekian, terima kasih.