Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
KETIKA SAYA DI UNIVERSITI (SEM 4) BEBERAPA TAHUN LALU, SAYA TELAH BERNAZAR SEKIRANYA CGPA SAYA LEBIH DRP 3.00, SAYA AKAN BERPUASA PADA HARI ISNIN & KHAMIS PADA SEMESTER HADAPAN (SEM 5). NAMUN, SEMASA SEMESTER 5 TERSEBUT, SAYA TELAH CULAS UNTUK MENUNAIKAN NAZAR TERSEBUT. HANYA BERPUASA KETIKA SAYA MAMPU SAHAJA.
SEKIRANYA SAYA INGIN MENGGANTIKANNYA SEKARANG:
1. PERLUKAN SAYA GANTI PADA SETIAP HARI ISNIN DAN KHAMIS SEHINGGA HABIS MENGIKUT BILANGAN HARI SEMESTER TERSEBUT?
2. BOLEHKAN SAYA MENGGANTIKANNYA SECARA SEKALIGUS, TIDAK MENGIRA HARI TERTENTU?
3. ADAKAH SAYA PERLU MEMBAYAR APA-APA WALAUPUN SAYA SUDAH HABIS MENGGANTIKANNYA?
4. BAGAIMANA UNTUK MENGIRA JUMLAH PUASA NAZAR TERSEBUT? ADAKAH HANYA PERLU MENGANGGARKAN SEBANYAK BEBERAPA MINGGU SELAMA SEMESTER ITU?
TERIMA KASIH KERANA MENJAWAB PERTANYAAN SAYA.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tersebut, Allah SWT berfirman:
Maksud: "Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka”. (Surah al-Hajj: 29)
Rasulullah SAW juga bersabda:
Maksud: "Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia menunaikannya”. (Riwayat Al-Bukhari)
Dalam Mazhab Syafi'i, nazar yang dikaitkan dengan suatu syarat menjadi wajib setelah syarat itu berlaku. Berikut adalah jawapan bagi soalan-soalan yang dibangkitkan:
1. Ya, pada asalnya yang diwajibkan ialah puasa pada hari Isnin dan Khamis sepanjang Semester 5, kerana itulah bentuk ibadah yang dinazarkan. Namun, oleh sebab tempoh Semester 5 telah berlalu, kewajipan itu menjadi hutang yang perlu ditunaikan. Walaubagaimanapun, yang perlu diganti ialah bilangan puasa yang sepatutnya dilakukan.
2. Ya, menurut pendapat yang kuat dalam Mazhab Syafi'i, boleh. Ini kerana nazar tersebut berkaitan dengan puasa yang telah menjadi tanggungan setelah waktu yang ditentukan berlalu. Maka ia menjadi seperti hutang ibadah yang perlu ditunaikan.
Sebagai contoh, jika jumlah yang masih berbaki ialah 20 hari, puan boleh berpuasa berturut-turut, berselang-seli atau pada mana-mana hari yang harus berpuasa, dan tidak disyaratkan lagi hanya pada hari Isnin dan Khamis.
3. Tidak perlu kerana kaffarah nazar hanya diwajibkan dalam keadaan tertentu seperti nazar yang tidak mampu ditunaikan langsung atau nazar yang dihukum seperti sumpah menurut perinciannya. Dalam keadaan puan, nazar tersebut masih boleh dilaksanakan, maka yang dituntut ialah menyempurnakan puasa yang menjadi tanggungan.
Namun begitu, kerana puan telah melewatkan pelaksanaannya tanpa keuzuran, puan hendaklah bertaubat kepada Allah SWT dengan menyesali kelalaian tersebut, berazam tidak mengulanginya, dan segera menyempurnakan baki nazar.
4. Puan hendaklah berusaha mengira sedaya mungkin. Sebagai contoh, jika Semester 5 berlangsung sekitar 14 minggu, maka terdapat lebih kurang 14 hari Isnin, dan 14 hari Khamis, menjadikan keseluruhannya sekitar 28 hari puasa. Daripada jumlah itu, tolak hari-hari yang tuan/puan benar-benar telah berpuasa ketika Semester 5.
Sekiranya tidak dapat mengingati dengan tepat, maka gunakan anggaran yang paling hampir berdasarkan kalendar semester ketika itu. Maksudnya, apabila bilangan sebenar tidak dapat dipastikan, memadai menggunakan anggaran yang paling diyakini. Sebagai langkah berhati-hati, jika puan ragu antara dua bilangan, adalah lebih baik memilih bilangan yang lebih banyak supaya yakin tanggungan telah selesai.
Sekian, terima kasih