BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz. Saya ingin bertanya dan mohon pandangan Ustaz dari sudut Islam dan hukum syarak.

 

Saya mempunyai seorang adik yang telah berkahwin lebih kurang setahun. Selepas perkahwinannya, keluarga kami mengalami beberapa perkara yang kami anggap sebagai gangguan. Kami pernah mendapatkan bantuan beberapa orang Ustaz untuk memeriksa keadaan tersebut dan ada yang mengatakan terdapat unsur sihir.

 

Dalam beberapa kejadian, kami juga mempunyai rakaman CCTV yang menunjukkan ahli keluarga mertua adik saya, termasuk bapa dan adiknya, datang dan menanam sesuatu di kawasan rumah pada waktu malam. Apabila barang tersebut diperiksa oleh Ustaz, kami dimaklumkan bahawa ia adalah barang yang berkaitan dengan sihir.

 

Saya sendiri pernah mengalami beberapa gangguan. Saya juga mendapat mimpi yang seolah-olah berkaitan dengan barang-barang yang ditanam dan gangguan jin. Pada peringkat awal, saya pernah mengalami keadaan seperti lumpuh seluruh badan selepas saya membuang dan menemui barang-barang yang dikatakan berkaitan dengan sihir tersebut.

 

Dalam beberapa episod gangguan yang berlaku, jin tersebut juga dikatakan mengugut bahawa ia akan mengambil anak dalam kandungan saya sekiranya saya cuba menghentikan atau membuang sihir tersebut.

 

Dengan izin dan ketentuan Allah, anak saya kemudiannya meninggal dunia ketika kelahiran pramatang pada usia sekitar 7 bulan. Doktor tidak menemui punca yang jelas. Seminggu sebelum kelahiran tersebut, saya juga mengalami mimpi di mana seorang wanita tua datang memegang perut saya dan mengatakan bahawa dia akan mengambil anak saya.

 

Saya faham dan percaya bahawa segala yang berlaku adalah dengan izin, ketentuan dan qada' qadar Allah SWT. Saya tidak menyalahkan sesiapa atas kematian anak saya kerana saya percaya ajal dan ketentuan Allah adalah mutlak. Namun, pengalaman yang berlaku menyebabkan saya berasa sangat tidak selamat dan tidak selesa apabila perlu berjumpa dengan adik dan suaminya.

 

Adik dan suami pernah mengakui bahawa ada ahli keluarga mereka yang terlibat dengan perkara sihir dan saka. Namun sekarang, mereka pula menyalahkan saya dan mengatakan saya lemah serta menjadi punca kepada perkara yang berlaku. Sedangkan pada pandangan saya, terdapat beberapa bukti seperti rakaman CCTV, barang yang ditemui dan pengakuan yang pernah dibuat.

 

Keadaan ini juga menyebabkan hubungan saya dengan ibu bapa semakin renggang. Saya tinggal bersama ibu bapa dan masih terdapat barang-barang yang berkaitan dengan sihir kami jumpa di rumah. Saya berasa tidak selesa dengan keadaan ini.

 

Apabila saya cuba menjauhkan diri daripada adik dan suaminya untuk ketenangan diri, ibu bapa saya mengatakan bahawa saya telah melakukan syirik kerana mempercayai kewujudan sihir. Mereka juga mengatakan saya tidak akan masuk syurga sekiranya saya tidak memperbaiki hubungan dengan adik saya.

 

Jadi, saya ingin bertanya kepada Ustaz:

 

1. Adakah mempercayai bahawa sihir itu wujud merupakan syirik, sedangkan sihir memang disebut dalam al-Quran dan kita tetap percaya bahawa segala sesuatu hanya berlaku dengan izin Allah SWT?

 

2. Adakah saya berdosa jika saya memilih untuk menjaga jarak dengan adik dan suaminya kerana saya berasa tidak selamat dan tidak tenang, tetapi saya masih bertegur sapa apabila bertemu dan tidak memutuskan hubungan silaturahim sepenuhnya?

 

3. Adakah menjaga jarak daripada seseorang yang kita percaya boleh memudaratkan atau memberi kesan buruk kepada keselamatan dan ketenangan diri dikira memutuskan silaturahim?

 

4. Apakah batas yang dibenarkan dalam Islam sekiranya hubungan dengan ahli keluarga menyebabkan seseorang berasa tertekan?

 

Saya sangat berharap Ustaz dapat memberikan pandangan yang seimbang kerana saya tidak mahu memutuskan silaturahim atau melakukan sesuatu yang bercanggah dengan agama. Pada masa yang sama, saya juga perlu menjaga keselamatan, ketenangan dan keadaan diri saya Dan keluarga.

 

Terima kasih Ustaz kerana sudi membaca dan menjawab.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Bagi menjawab soalan yang diajukan:

1. Sekadar mengetahui (mempercayai) adanya kewujudan sihir maka ia tidaklah dikira melakukan syirik. Hal ini kerana Puan tidak beriktikad (percaya dalam hati/beriman) sihir boleh memberikan kesan dan Puan juga tidak melakukan ritual sihir.

2 & 3. Menjaga jarak daripada orang lain termasuk ahli keluarga bagi menjaga keselamatan diri tidak berdosa selagi mana tidak memutuskan ukhwah atau silaturrahim. Perbuatan menjaga jarak hanyalah satu langkah berjaga-jaga dan ia tidak dikira memutuskan hubungan.

4. Islam tidak melarang umatnya untuk berjauhan daripada orang ramai atau individu tertentu demi menjaga keselamatan diri. Hal ini kerana maqasid syariah iaitu tujuan pensyariatan juga salah satunya adalah menjaga nyawa (hifz al-nafs). Ini juga bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, sabda Nabi SAW:

‌لَا ‌ضَرَرَ ‌وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan. (Riwayat Ahmad)

Namun, perlu diingatkan supaya hubungan sesama muslim tidak boleh diputuskan.

Semoga Puan sentiasa dipelihara dan dijaga oleh Allah SWT dan dimudahkan segala urusan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 17

message user image