Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya nak tanya pasal hukum riba dalam emas 916.
Kalau emas 916 tidak dikategorikan sebagai barang ribawi di Malaysia, adakah dibenarkan untuk menukar barang kemas 916 dengan barang kemas 916 yang lain secara suka sama suka, walaupun beratnya berbeza, pertukaran itu bukan akad jual beli atau trade-in. Ia cuma suka sama suka.. lain2 berat ..
Jawapan
Seperti yang sedia maklum, emas merupakan salah satu item ribawi. Oleh yang demikian, sebarang transaksi jual beli atau pertukaran yang melibatkan item ribawi hendaklah menepati segala tatacara dan panduan yang ditetapkan oleh syarak agar tidak terjerumus dalam kancah riba. Penetapan emas sebagai item ribawi jelas disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin al-Somit RA bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (lani). (Riwayat Muslim)
Berdasarkan kepada hadis ini, jelas kepada kita bahawa sebarang transaksi jual beli atau pertukaran emas dengan sesuatu yang sama jenis dengannya hendaklah memenuhi dua syarat iaitu penyerahan secara tunai dalam majlis akad dan kesamaan pada kadar yang diiktiraf syarak. Oleh itu, sebarang penambahan atau pengurangan dalam timbangan ketika menjual atau menukar emas dengan emas adalah tidak dibenarkan.
Hal yang demikian termasuklah juga kesamaan dari segi ketulenan sesebuah emas. Emas yang bercampur dengan bahan lain seperti tembaga dan seumpamanya tidak sama nilainya dengan emas yang tulen. Sebagai contoh, emas 999 tidak sama nilainya dengan emas 916. Oleh itu, pertukaran ini tidak dibenarkan kerana terdapat perbezaan nilai di antara keduanya. Jika pertukaran berlaku antara barang kemas 916 dengan barang kemas 916 yang lain maka hendaklah dipastikan bahawa kadar ketulenan dan kadar berat emas kedua barangan tersebut adalah sama. Perkara ini boleh diketahui melalui mereka yang pakar dalam bidang ini. Mereka mengetahui perbezaan antara setiap jenis emas berdasarkan kepada nisbah tertentu bagi setiap campuran yang ditambah ke dalam setiap jenis emas.
Sekian, terima kasih