Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah. Saya nak tanya tentang keberkatan kerja saya.
Saya bekerja sebagai HR dan tugas saya termasuk kira gaji dan commission pekerja.
Dalam offer letter, commission memang tak dinyatakan. Gaji asas sahaja yang ditulis. Tetapi dalam syarikat kami memang ada commission untuk kerja-kerja tertentu. Contohnya FM sebelum ini RM20 satu kerja.
Masalahnya, bos saya selalu buat macam ni:
Pekerja buat kerja sepanjang bulan berdasarkan kadar yang sedang digunakan, contohnya FM RM20. Bila hujung bulan saya sudah siap kira semua commission, bos akan tengok jumlah keseluruhan. Kalau jumlah terlalu tinggi daripada bajet yang dia tetapkan, dia akan turunkan kadar tersebut, contohnya FM daripada RM20 jadi RM15. Kemudian saya perlu kira semula dan pekerja dibayar berdasarkan RM15.
Perkara ini bukan disorok daripada pekerja. Pekerja akan diberitahu tentang perubahan tersebut dan saya sendiri diminta untuk terangkan kepada mereka. Cuma perubahan kadar itu dibuat selepas kerja sudah dilakukan dan selepas jumlah commission sudah diketahui.
Saya perasan perkara ini berlaku hampir setiap bulan. Maksudnya, jumlah commission seolah-olah akan disesuaikan supaya berada dalam bajet tertentu, walaupun jumlah kerja pekerja bulan itu berbeza.
Saya pula hanya buat calculation berdasarkan kadar yang bos bagi. Saya bukan orang yang menentukan kadar tersebut.
Jadi saya nak tanya:
Adakah cara bos mengubah kadar commission selepas pekerja sudah buat kerja ini dikira menzalimi atau mengambil hak pekerja?
Dan sebagai HR yang hanya mengira berdasarkan arahan bos, adakah saya dikira membantu dalam perkara tersebut?
Saya mungkin akan menjadi guru tidak lama lagi, tetapi saya bercadang untuk terus buat kerja HR ini secara part-time pada waktu malam sebab saya selesa bekerja dengan bos dan dia juga baik dengan saya. Saya cuma risau tentang keberkatan pendapatan saya.
Adakah saya patut teruskan kerja HR ini atau lebih baik saya berhenti?
Terima kasih ustaz/ustazah.
Jawapan
Secara asasnya, bayaran komisen atau wang yang diberikan kepada pekerja merupakan upah sebagai balasan kepada kerja atau tugasan yang dilakukan. Jumlah upah tersebut mestilah diketahui dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW bahawa:
Maksudnya: Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang mereka persetujui. (Riwayat Abu Daud)
Merujuk kepada persoalan, cara penyelia mengubah kadar komisen selepas pekerja melakukan pekerjaan tertentu adalah tertakluk kepada persetujuan dan syarat yang ditetapkan oleh majikan kepada pekerja, jika majikan tidak menetapkan kadar yang tetap seperti RM20 tetapi hanya sebagai anggaran bayaran komisen dibuat sehingga tidak melebihi RM20, maka tindakan tersebut telah dimaklumkan dan dipersetujui antara kedua-dua pihak, maka tindakan tersebut tidak dianggap sebagai menzalimi pekerja.
Sebaliknya, jika majikan telah menetapkan jumlah tertentu iaitu RM20 untuk setiap pekerjaan tertentu yang dibuat oleh pekerja, perkara ini menjadikan pekerja telah maklum dan boleh menjangkakan bayaran komisen yang akan diterima pada hujung bulan. Namun, komisen diterima tidak sama atau berkurang daripada jumlah sepatutnya. Maka, tindakan ini boleh dianggap menzalimi pekerja atau mengurangkan hak pekerja.
Sebagai HR pula, jika puan tidak mempunyai kuasa menentukan kadar komisen serta tidak menyembunyikan perubahan kadar bayaran tersebut, maka tanggungjawab puan tidak sama dengan pembuat keputusan serta puan tidak dianggap terlibat dengan keputusan untuk mengurangkan kadar komisen pekerja. Oleh itu, tidak menjadi kesalahan jika puan hendak terus bekerja di sini.
Sebaiknya, puan memastikan terlebih dahulu terma dan syarat bayaran komisen yang ditetapkan oleh majikan kepada pekerja bagi mengelak berlaku ketidakadilan majikan kepada pekerja serta mencadangkan kepada majikan supaya kadar komisen ditetapkan sebelum kerja dilakukan atau sebelum tempoh pengiraan bermula. Sebarang perubahan kadar dibuat secara jelas untuk tempoh berikutnya bukan secara retrospektif (sesuatu perkara yang telah berlaku atau ke belakang).
Sekian, terima kasih.