Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalannya:
1) Bolehkah pembahagian harta pusaka dibahagikan sama rata berdasarkan permintaan arwah sebelum meninggal dunia. Sedangkan arwah ada 2 anak lelaki dan 3 anak perempuan. Adakah wajib ikut hukum faraid dahulu , selepas itu baru dibahagi sama rata atau macamana yg terbaik mengikut perintah ALLAH dalam surah an nisa ayat 13-14?
2) adakah masih ada hak bagi waris ( anak lelaki) yang telah meninggal dunia 17 tahun lalu dalam pembahagian harta tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dinyatakan tersebut, maka jawapannya adalah seperti berikut:
1. Allah SWT berfirman pada surah al-Nisa’ ayat 13:
Maksudnya: Itulah batas-batas ketentuan Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar.
Ayat ini datang selepas ayat 11–12, iaitu ayat yang menetapkan bahagian faraid bagi anak-anak, ibu bapa, suami, isteri dan beberapa waris lain. Oleh itu, secara asasnya hak faraid mesti didahulukan. Setelah hak tersebut menjadi milik waris, mana-mana waris boleh meredai untuk memberikan atau melepaskan sebahagian haknya kepada waris lain. Ini termasuk pembahagian sama-rata harta pusaka dalam kalangan waris.
2. Waris yang telah meninggal dunia terlebih dahulu sebelum pewaris tidak mempunyai bahagian daripada harta pusaka yang ditinggalkan. al-Khatib al-Shirbini dalam Mughni al-Muhtaj menulis berkenaan syarat-syarat pewarisan, antaranya adalah:
Maksudnya: Memastikan waris masih hidup selepas kematian pewaris, walaupun hanya seketika.
Dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada sektor Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor untuk maklumat dan informasi lanjut berkenaan isu ini.
Sekian, terima kasih.