Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum melakukan transaksi jual beli yang barangnya sengaja tidak wujud, di mana penjual dan pembeli bersetuju melakukan transaksi pada harga RM1,000 melalui platform e-dagang, tetapi tujuan sebenar transaksi tersebut bukan untuk mendapatkan barang, sebaliknya penjual menyerahkan RM800 secara tunai kepada pembeli dan mengambil RM200 sebagai keuntungan/perkhidmatan? Kedua-dua pihak mengetahui dan bersetuju bahawa barang tersebut tidak wujud dan transaksi tersebut hanya digunakan sebagai mekanisme mendapatkan tunai. Adakah akad jual beli tersebut sah menurut syarak, dan apakah hukum RM200 yang diperoleh oleh penjual?
Jawapan
Merujuk kepada soalan, transaksi tersebut tidak sah sebagai akad jual beli kerana barang yang dijual adalah barang yang tidak wujud sert ia tidak dimaksudkan untuk diserahkan, perkara ini menyebabkan syarat sah jual beli tidak dimenuhi. Alasan jual beli hanya digunakan sebagai mekanisme mendapatkan wang tunai. Persetujuan kedua-dua pihak tidak mengatasi larangan menjual sesuatu yang tidak dimiliki.
Hakikat transaksi ini dari sudut fiqh adalah akad qard (pinjaman) sebanyak RM800, di mana pembeli akhirnya menanggung kos RM1,000, dan penjual mendapat manfaat tambahan RM200. RM200 yang diambil oleh penjual adalah faedah atas pinjaman (riba) dan hukumnya haram, wajib dipulangkan kepada pembeli. Persetujuan kedua-dua pihak tidak menghalalkan transaksi yang dilarang oleh syarak.
Sekian, terima kasih.