Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT. Saya ingin mendapatkan pencerahan hukum daripada pihak Mufti berkaitan status pekerjaan seorang Muslim yang bekerja di bahagian pengurusan kewangan (Finance Department, HQ) di sebuah pasar raya atau kedai serbaneka yang turut menjual minuman beralkohol. Adakah pekerjaan tersebut dibolehkan dari sudut syarak, atau ia termasuk dalam kategori syubhah atau tidak harus?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, secara umumnya, bekerja di bahagian pengurusan kewangan di pasar raya atau kedai serbaneka yang turut menjual minuman beralkohol adalah harus kerana tidak terlibat secara langsung dengan perkara haram. Namun, jika pendapatan yang diperoleh merupakan hasil keuntungan yang bercampur antara perkara haram dan perkara halal, ia boleh membawa kepada syubhah.
Dalam hal ini, disarankan oleh Nabi SAW supaya menjauhi perkara yang syubhah agar diri dan rezeki kita terpelihara. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya ada perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa yang menjauhi perkara syubhah, sesungguhnya dia telah membersihkan agama dan maruah dirinya.
Justeru, walaupun pekerjaan sekarang masih dikira harus, amat digalakkan untuk berusaha mencari pekerjaan yang lebih jelas halal sumbernya supaya rezeki lebih diberkati dan menjadikan hati lebih tenang.
Semoga Allah membuka jalan rezeki pekerjaan yang lebih baik dan memberkati setiap usaha dan langkah yang diambil.
Sekian, terima kasih.