BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum ustaz/ ustazah, 

Saya ingin bertanyakan soalan dan inginkan kepastian tentang kegusaran saya ini. Saya adalah seorang ibu yang mempunyai seorang anak tidak sah taraf iaitu anak perempuan sulung yang kini berumur 15 tahun. Saya telah bernikah dengan bapa biologinya namun telah bercerai serahun selepas itu. Kini saya telah 12 tahun bernikah dengan suami baru dan mempunyai 3 orang anak. 

Soalan saya, bagaimanakah hubungan anak sulung saya dengan bapa tirinya sekarang, adakah mahram ataupun tidak? Dan benarkah hububgan anak sulung saya dengan adik - adiknya bukan adik beradik tiri tetapi adik beradik seibu? Sekian, terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan soalan yang diajukan, ia terkait dengan beberapa hukum. Iaitu:

  1. Hubungan antara anak sulung (anak luar nikah) dengan bapa tiri

Secara umumnya, anak sulung itu adalah anak tiri kepada suami baru puan. Syarak menetapkan hendaklah berlaku dukhul (persetubuhan) antara puan dan suami untuk menjadikan anak itu sebagai mahram kepada suami puan.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 23:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا 

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Tambahan pula, puan sudah berkahwin dengan suami baru selama 12 tahun dan memiliki 3 orang anak hasil perkahwinan bersama. Ini jelas menunjukkan telah berlaku persetubuhan dan menjadikan anak sulung puan itu mahram kepada suami yang baru.

        2. Hubungan anak sulung dengan adik-beradik seibu

Anak sulung dan tiga orang anak puan merupakan adik-beradik seibu. Mereka berkongsi ibu yang sama iaitu puan. Oleh itu, mereka adalah adik-beradik kandung seibu meskpun berlainan bapa. Ini menjadikan mereka mahram dan haram berkahwin antara satu sama lain.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 3

message user image