BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya ingin memohon pandangan hukum daripada pihak Mufti Negeri Selangor mengenai situasi berikut:

Seorang ibu berusia 72 tahun tinggal di sebuah rumah bersama anak lelaki yang masih bujang berusia 40 tahun. Ibu tersebut mengalami sakit tua dan sudah tidak mampu menguruskan keperluan harian seperti memasak, mengemas rumah dan menjaga diri sepenuhnya.

Atas keperluan tersebut, keluarga bercadang atau telah mengambil seorang pembantu rumah wanita berusia 45 tahun untuk tinggal serumah bagi menjaga dan menguruskan keperluan ibu sepenuh masa.

Persoalan saya ialah:

1. Apakah hukum seorang pembantu rumah wanita tinggal serumah dengan seorang lelaki bujang yang bukan mahram, walaupun tujuan utama pembantu tersebut adalah untuk menjaga ibu yang uzur?
2. Adakah keadaan ini dianggap harus kerana terdapat keperluan (hajah atau darurah), atau adakah ia tetap tidak dibenarkan?
3. Apakah syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan berlakunya khalwat atau perkara yang bertentangan dengan syarak? Sebagai contoh, adakah memadai jika setiap seorang mempunyai bilik yang berasingan, menjaga aurat, dan mengelakkan keadaan berdua-duaan tanpa kehadiran ibu?
4. Sekiranya keadaan ibu memerlukan penjagaan sepanjang masa dan tiada ahli keluarga wanita lain yang boleh tinggal bersama, apakah penyelesaian yang disarankan oleh syarak?

Saya amat menghargai pandangan dan penjelasan daripada pihak Mufti agar keluarga kami dapat membuat keputusan yang menepati hukum syarak.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, 

1. Islam mengariskan peraturan dan batas-batas syarak dalam pergaulan ini bagi memastikan umat Islam sentiasa menjaga hubungan antara lelaki dan wanita ketika bermuamalah. Seorang pembantu rumah wanita adalah dilarang untuk tinggal serumah dengan seorang lelaki bujang yang bukan mahram, walaupun tujuan utama pembantu tersebut adalah untuk menjaga ibu yang uzur. 

2. Situasi ini pada kebiasaannya lebih hampir kepada keadaan hajah atau keperluan, bukan darurah yang membolehkan larangan syarak diketepikan secara mutlak. Oleh itu, ia tetap tidak dibenarkan.

3. Menghadirkan perempuan lain, sama ada ahli keluarga perempuan atau pembantu perempuan ke dua.

4. Sebagai cadangan, antara perkara yang boleh dilakukan sekiranya ibu memerlukan penjagaan sepanjang masa:

a. Tidak menggunakaan khidmat pembantu rumah pada waktu malam, atau memastikan terdapat ahli keluarga wanita atau penjaga lain yang tinggal bersama, khususnya pada waktu malam.
b. Membuat penggiliran ahli keluarga untuk menjaga ibu.
c. Sekiranya bersesuaian, anak lelaki tersebut boleh tinggal di kediaman lain yang berdekatan dan datang membantu ibunya apabila diperlukan.
d. Anak bujang itu berkahwin.

e. Pembantu perempuan itu hanya datang ke rumah ketika anak bujang itu keluar bekerja. 

والله أعلم بالصواب 

Sekian terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 7

message user image