Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya, semasa pergaduhan rumah tangga bersama suami saya ada bersumpah tidak akan lagi memberi nasihat atau teguran bab amalan dan ibadah kepada suami saya, lafas sumpah saya adalah seperti ini.. Saya bersumpah andai saya tak akan beri teguran lagi..andai saya beri saya akan mati..
Apakah hukum sumpahan ini..andai saya nk tarik balik perlukah saya membayar kafarah?
Sekian..terima kasih..mohon pencerahan dr yg lebih arif.
Jawapan
Sumpah dari segi istilah bermaksud: Sesuatu lafaz yang menguatkan sesuatu perkara dengan disabitkan menyebut bersamanya nama Allah SWT atau sifat-Nya dengan lafaz yang khusus. Antara dalil pensyariatannya adalah di dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 224:
Maksudnya: (Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.
Di antara syarat yang menyebabkan dikenakan kaffarah adalah sumpah yang didatangkan dengan lafaz nama Allah SWT atau sifat-Nya. Jika sebaliknya, maka sumpah itu tidak dikenakan kaffarah. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Dr Muhammad Al-Zuhaili di dalam kitabnya al-Mu'tamad fi al-Fiqh al-Syafi'i: “Dan sekiranya seseorang berkata: Aku bersumpah atau aku berazam untuk melakukan itu dan ini, tanpa menyebut nama Allah SWT tidak dikira sebagai sumpah (al-Yamin) walaupun berniat sumpah. Ini kerana sumpah (al-Yamin) tidak dikira melainkan menyebut nama Allah atau sifat-Nya untuk mengukuhkan sumpahnya.”
Berdasarkan persoalan yang diajukan, sumpah yang puan lafazkan adalah tidak sah kerana di dalam sumpah tersebut terdapat lafaz yang tidak sah dari segi syarak. Justeru, tidak dikenakan kaffarah ke atas pelanggaran lafaz sumpah ini. Sehubungan itu, puan digalakkan untuk terus bersabar dan menasihati suami supaya melakukan kebaikan.
Sekian, terima kasih.