BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Bapa saya pernah berhutang dengan pihak bank suatu ketika dahulu. Setelah sekian lama , pihak bank kini menuntut hutang tersebut yang mana hutang tersebut telah bercampur aduk nilai asalnya dengan bunga(riba). Bapa saya kini sudah tua dan tidak kuat bekerja . Soalannya adakah boleh saya melangsaikan hutang tersebut dan menjalankan tanggungjawab saya sebagai anak walaupun hutang tersebut melibatkan permasalah riba ?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, hutang wajib dilunaskan sebagaimana perjanjiannya dengan pihak bank. Firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. (al-Ma’idah : 1) Bahkan, ia membawa gambaran kesempurnaan amalan ibadah tidak akan lengkap jika masih terdapat hutang yang tidak dilunaskan sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdillah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda: يُغْفَرُ للشهيد كل ذنب إلا الدَّين Maksudnya : “Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni kecuali hutang” (Riwayat Muslim) Manakala orang yang sentiasa ingat dan membayar hutangnya adalah golongan yang sangat baik sebagaimana dalil yang diriwayatkan daripada Abu Rafi’ RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Maksudnya : “Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutang.” (Riwayat Bukhari) Oleh itu, prinsip hutang adalah ianya perlu dibayar oleh peminjam. Adapun tuan sebagai waris peminjam adalah perlu menjalankan tanggungjawab melangsaikan hutang tersebut walaupun ianya bersekali dengan kenaan interest atau riba. Ini kerana kita tidak mempunyai pilihan untuk mengenepikan kenaan riba dalam jumlah pinjaman dan ini telah dipersetujui sejak awal pinjaman. Menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk memilih perbankan Islam yang lebih jelas mematuhi kehendak syarak berbanding konvensional. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 228

message user image