Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum W.B.T.
Saya adalah seorang suri rumah yang juga berkerja sebagai pembuat kek dari rumah (home baker) secara kecil-kecilan untuk membantu keluarga.
Baru-baru ini viral di media sosial yang menyatakan penggunaan kek topper (bergambar) yang ada trademark adalah salah dan hukum nya berdosa. Jadi saya sedaya upaya cuba mencari alternative untuk menyelesaikan isu ini.
Jadi soalan saya, jika pelanggan sendiri yang memesan gambar topper tersebut, kemudian dihantar kepada sy untuk saya pasangkan atas kek, adakah ia masih dikira melanggar hak & berdosa. Saya tidak mengenakan apa-apa caj tambahan kepada pelanggan untuk kos pemasangan, adakah ia dibenarkan?
Jawapan
Pada asasnya, Islam mengiktiraf hak cipta dan harta intelek sebagai hak yang perlu dihormati. Menggunakan atau menghasilkan karya yang dilindungi tanpa keizinan pemiliknya adalah tidak dibenarkan.
Hal ini berdasarkan keputusan Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang menyebut:
Maksudnya: Hak penulisan, penciptaan dan inovasi dilindungi oleh syarak. Pemiliknya mempunyai hak untuk menguruskannya dan tidak boleh dilakukan pencerobohan terhadap hak tersebut.
Dalam situasi yang dinyatakan, sekiranya pembuat kek mencetak, menggandakan, menjual atau mendapatkan topper berhak cipta tersebut tanpa kebenaran pemilik, maka perkara itu boleh termasuk dalam pelanggaran hak pemilik dan hendaklah dielakkan. MyIPO juga menjelaskan bahawa penggunaan karya berhak cipta bagi tujuan komersial lazimnya memerlukan kebenaran atau lesen daripada pemilik hak.
Oleh itu, tidak mengenakan caj tambahan untuk pemasangan topper tidak mengubah hukum hak cipta. Perkara yang menjadi perhatian ialah sama ada penggunaan atau penggandaan karya tersebut mendapat keizinan pemilik atau tidak.
Jika pelanggan membawa sendiri topper yang telah diperolehnya secara sah, pembuat kek boleh memasangnya pada kek. Sebaiknya pembuat kek juga menjelaskan kepada pelanggan bahawa pihaknya hanya menyediakan kek dan pemasangan, manakala urusan mendapatkan topper hendaklah dilakukan secara sah dan tidak melanggar hak pemilik.
Kesimpulannya: jika pelanggan sendiri membawa topper tersebut dan pembuat kek hanya memasangkannya tanpa menggandakan atau menghasilkan semula karya tersebut, maka pada asasnya dibenarkan. Namun, jika topper tersebut diperoleh atau dicetak tanpa keizinan pemilik hak cipta/ trademark, maka perbuatan tersebut hendaklah dielakkan.
Semoga Allah SWT melancarkan dan mempermudah urusan perniagaan puan, meluaskan rezeki yang halal dan diberkati, serta menjadikan usaha puan sebagai sebab kecukupan dan kebaikan buat keluarga.