BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak bertanya berkaitan najis mughallazah. 

1. Sekarang musim hujan, kawasan rumah saya banyak anjing. Anjing selalu main dekat kawasan air bertakung dan pijak tanah, pasir jadi diorang basah dan kotor. Depan pintu parking saya ada tiles untuk dipijak berkaki ayam, anjing anjing tu suka pijak and berjalan jalan atas tiles tu jadi tiles tu basah dan kotor jadi saya perlu sertu tiles tu kan ? kalau benda ni jadi setiap minggu, saya perlu sertu setiap minggu ke sebab ianya agak membebankan saya ? 

2. Saya lap kesan kotor dekat tiles yang tak boleh dihilangkan guna air tu menggunakan mop. mop tu kena sertu kan ? kalau mop tu diletakkan dalam baldi maka baldi tu pun kena sertu la ya ? memang tak nampak apa apa ain najis cuma kesan kotoran tu kan datangnya dari anjing sebabtu perlu sertu kan ? 

3. Baldi tu saya sertu bahagian dalam sahaja tetapi saya cuci dengan air mutlak sebelum mula sertu dan sewaktu saya tuang keluar air tu mengalir pada pemegang baldi, adakah pemegang baldi jadi najis ? saya mulakan sertu dengan basuhan air tanah ke keseluruhan baldi tapi basuhan 6 kali air mutlak tu saya tak buat pada keseluruhan baldi sebab yang najisnya hanya di dalam dan waktu tu saya ada salah faham sikit dengan suami jadi saya tinggalkan baldi dalam keadaan marah. selepas saya check cctv suami terus guna baldi tanpa buat basuhan 6 kali pada bahagian pemegang baldi dan luaran baldi kerana dia tidak tahu yang pemegang baldi tu terkena air mutlak cucian pertama tu. adakah baldi tu masih bernajis ? tangan kami yang pegang baldi ni bernajis ke ? kami dah guna baldi tu untuk sertu tiles di depan pintu utama jadi sertu tu tidak sah ke ? dan macam mana dengan tangan kami dah pegang banyak benda dalam keadaan basah, ibadah kami diterima ke ? saya sertu baldi tu lagi sekali cuma macam mana dengan semua benda yang kami dah pegang dan buat tu ? dan perlu ke kami sertu tangan kami ? 

Saya minta bantuan untuk yang lebih berpengetahuan jawab soalan ini secepat mungkin untuk hilangkan perasaan was was saya. sifat was was saya berkaitan agama sangat sangatlah tinggi yang membuatkan hidup saya jadi tidak tenang. terima kasih banyak. 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

  1. Jika puan benar-benar yakin kaki anjing yang basah menyentuh jubin tersebut, hanya bahagian yang terkena sahaja perlu disertu. Namun, jika sekadar menyangka jubin yang kotor itu telah terkena najis anjing, jubin tersebut kekal dihukumkan sebagai suci. Tidak perlu menyertu seluruh kawasan setiap minggu.

  2. Mop dan baldi hanya perlu disertu jika diyakini terkena najis anjing dalam keadaan basah. Kesan kotoran yang disangka berasal daripada anjing tidak memadai untuk menghukum kedua-duanya sebagai bernajis.

  3. Berdasarkan keadaan yang diterangkan, puan tidak perlu meneliti semula pemegang baldi atau menyertu tangan dan semua barang yang telah disentuh. Sertu yang telah dilakukan dianggap memadai, manakala ibadah yang telah dilaksanakan adalah sah dan tidak perlu diulang. Hentikan pencarian rangkaian najis kerana keraguan tidak boleh mengubah hukum asal sesuatu benda yang suci. Usahalah mengabaikan perkara yang tidak pasti dan mohonlah perlindungan kepada Allah SWT agar terhindar daripada perasaan waswas.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 14

message user image