Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya ingin bertanyakan soalan berkenaan dengan air free refill yang sekarang banyak dibuat di restoran. Di mana konsepnya adalah sekali bayar, tapi boleh refill banyak kali. Dimana contoh yang menimbulkan kemusykilan saya adalah seperti berikut:
1)apabila saya membeli untuk satu minuman, saya akan diberi cawan, dan cawan itu dibenarkan untuk saya refill bila sudah habis. Ini menimbulkan kemusykilan dimana ada orang yang datang dengan 3 orang sekeluarga contohnya, bolehkan mereka hanya membeli 1 minuman, tapi dikongsi sesama mereka?
2)ada sesetengah pelanggan membawa bekas minuman sendiri dan mengisi bekas minuman sendiri dengan air free refill tersebut
Begitulah contohnya yang saya ingin sampaikan. Harap persoalan ini dapat dijawab berdasarkan sisi pandang agama dan hukum dan mengelakkan kemusykilan saya dan orang lain umumnya.
terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, kita dilarang mengambil atau memakan yang bukan daripada hak kita. Hadis daripada Amru bin Yathribi, sesungguhnya Nabi SAW bersabda:
Maksud: “Tidak halal harta seseorang saudaranya melainkan dengan keizinan daripada pemiliknya sendiri.” (Hadis Riyawat Musnad Imam Ahmad, 15488)
Namun dalam situasi yang dinyatakan, ianya tertakluk kepada peraturan dan kebenaran restoran berikut. Sekiranya berkongsi cawan dibenarkan oleh pihak restoran, maka ianya dibenarkan. Begitu juga dalam situasi pelanggan membawa cawan/ bekas sendiri, ianya juga adalah tertakluk kepada keizinan daripada pemilik restoren tersebut.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.