Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti, saya nak bertanya jika saya ada terbeli buku reprint dari shopee walhal semasa beli saya tak terfikir ianya reprint pun sebelum beli. Adakah saya madih bolrh memanfaatkan buku ini dengan membacanya ataupun saya dikira haram membaca dan memanfaatkan buku ini.
Terima kasih. Jazakallahu khair
Jawapan
Kami mulakan dengan memetik sebuah hadis daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
إنَّ الحلالَ بيِّنٌ، وإنَّ الحرامَ بيِّنٌ
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, (Riwayat al-Bukhari)
Oleh itu, jika selepas membeli baru diketahui bahawa buku tersebut mungkin merupakan reprint tanpa kebenaran, tidak perlu terus membuang atau berhenti membaca buku tersebut secara automatik. Sebaiknya periksa dahulu sama ada reprint itu memang tidak mendapat kebenaran pemilik hak cipta.
Akademi Fiqah Islam (Majma’ al-Fiqh al-Islami) dalam persidangan kali ke-5 yang diadakan di Kuwait pada 1409H telah meluluskan resolusi berikut:
“Hak cipta penulisan, ciptaan dan rekaan adalah dipelihara dari sudut syarak. Pemilik-pemiliknya berhak untuk mengendalikannya seperti menjual, menyewa dan lain-lain. Dan hak-hak tersebut tidak harus dicerobohi”.
Sekiranya ternyata ia benar-benar cetakan tanpa izin, maka jangan membeli lagi naskhah seperti itu pada masa akan datang. Adapun buku yang telah dibeli tanpa pengetahuan tersebut, isu pemanfaatannya tidak sama dengan orang yang sengaja mencetak atau menjual karya orang lain tanpa izin.
Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 5:
Maksudnya: Dan tidaklah kamu berdosa pada perkara yang kamu tersilap padanya, tetapi (yang berdosa itu) ialah apa yang disengajakan oleh hati kamu.
Sekian, terima kasih