BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Saya pernah melaburkan sejumlah wang ke dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang berasal daripada sumber pendapatan yang tidak halal semasa saya bekerja di sebuah bank konvensional yang melibatkan urusan riba.

Kini, saya telah bertukar pekerjaan ke sebuah syarikat dan memegang jawatan yang tidak melibatkan sumber pendapatan yang haram. Saya juga berhasrat untuk meneruskan pelaburan dalam ASNB menggunakan wang daripada sumber pendapatan yang halal.

Namun, sebelum meneruskan pelaburan tersebut, saya ingin mendapatkan pandangan tentang cara yang betul untuk membersihkan harta yang tidak halal yang masih berada dalam pelaburan ASNB.

1. Bagaimanakah cara yang betul untuk saya menentukan dan melupuskan keseluruhan jumlah wang yang tidak halal tersebut, termasuk dividen/keuntungan yang telah diterima dan masih berada dalam ASNB?

2. Adakah saya perlu mengeluarkan wang tersebut daripada ASNB terlebih dahulu sebelum melupuskannya kepada Baitulmal atau pihak yang sesuai?

3. Sekiranya saya mempunyai wang simpanan lain yang berasal daripada sumber yang halal, adakah dibenarkan untuk saya menggunakan wang simpanan tersebut untuk membayar jumlah yang bersamaan dengan wang tidak halal kepada Baitulmal, dengan niat membersihkan harta, tanpa mengeluarkan jumlah tersebut daripada akaun ASNB?

4. Selepas jumlah wang yang tidak halal tersebut telah dilupuskan, adakah saya boleh meneruskan pelaburan dalam ASNB menggunakan wang daripada sumber pendapatan yang halal?

Saya ingin memastikan proses ini dilakukan dengan cara yang betul dari sudut hukum Syariah dan tidak lagi mencampurkan wang daripada sumber yang tidak halal dengan wang daripada sumber yang halal.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Soalan 1. Secara umumnya wang yang diperoleh melalui pekerjaan yang melibatkan riba secara langsung perlu diasingkan dan dilupuskan. Jumlah yang perlu dilupuskan hendaklah ditentukan berdasarkan wang yang tidak halal serta keuntungan yang berkaitan dengannya.

Semak rekod gaji, transaksi dan penyata ASNB untuk mengenal pasti jumlah wang yang telah dilaburkan. Jika simpanan tersebut bercampur antara wang halal dan tidak halal, pengiraan dan pengasingan perlu dibuat bagi menentukan jumlah sebenar wang tidak patuh syariah.

Soalan 2. Tidak perlu mengeluarkan wang yang hendak dilupuskan. Wang yang perlu dilupuskan boleh diserahkan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri, ia adalah proses pelupusan, bukan zakat atau sedekah biasa, tetapi bertujuan melepaskan tanggungan daripada harta yang diperoleh melalui cara yang tidak dibenarkan oleh Syariah.

Soalan 3. Pada asasnya, dibenarkan menyerahkan nilai setara daripada simpanan halal, kerana wang ialah harta mithli iaitu ia boleh diganti dengan nilai seumpamanya. Anda tidak wajib menyerahkan wang fizikal yang sama atau menebus unit tertentu.

Soalan 4. Perlu difahami bahawa isu wang yang diperoleh melalui pekerjaan tidak patuh Syariah adalah berbeza daripada hukum melabur dalam sesuatu dana. Oleh itu, semak status dana ASNB yang dipilih serta panduan pihak berkuasa agama yang berkaitan.

Oleh itu kesimpulannya, wang yang diperoleh melalui sumber yang tidak patuh syariah secara langsung perlu dikenal pasti dan dilupuskan mengikut kadar yang sepatutnya. Pelupusan boleh dibuat menggunakan simpanan halal tanpa perlu mengeluarkan wang daripada ASNB.

Bagi memastikan jumlah yang perlu dilupuskan dikira dengan betul, terutama apabila melibatkan dividen dan simpanan bercampur, individu berkenaan disarankan merujuk kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri untuk mendapatkan panduan lanjut.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                                                     


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 7

message user image