Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum..saya ingin bertanya tentang masalah berkaitan laluan babi yang mana apabila babi berjalan akan meninggalkan kesan tanah pada daun rumput,kesan tanah pada batang pokok akibat kesan bergesel.jika saya mesin rumput pada kawasan daun rumput tersebut adakah saya perlu sertu peralatan saya,dan jika jentera backhoe saya membuang pokok pokok yang ada kesan tanah tadi akibat babi bergesel adakah saya perlu sertu jentera saya.untuk makluman tuan saya boleh dikatakan hari hari terlibat dengan kerja kerja pembersihan kebun ini.saya berasa agak sukar untuk mengelak daripada terkena kesan tanah dibatang pokok dan rumput..
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, tuan tidak perlu menyertu mesin rumput atau jentera backhoe semata-mata kerana terkena kesan tanah pada rumput dan batang pokok di kawasan laluan babi. Kesan tanah tersebut tidak dihukumkan najis selagi tidak dapat dipastikan wujud ain najis babi. Hukum asal tanah dan peralatan berkenaan adalah suci.
Sertu hanya diperlukan pada bahagian peralatan yang diyakini terkena najis babi, sama ada terkena ain najis secara langsung atau melalui perpindahan najis dalam keadaan basah atau lembap. Jika sekadar sangkaan atau keraguan, memadai peralatan dibersihkan seperti biasa. Tuan juga tidak perlu menyiasat setiap kesan tanah yang ditemui sehingga menyukarkan kerja pembersihan kebun.
Sekian, terima kasih.