BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/ Puan, 

Saya mempunyai OCD dan was was yang melampau ketika berwuduk dan solat..Nasihat Rasulullah jangan tinggalkan solat melainkan ada bunyi atau bau tidak dapat saya ikuti akibat penyakit ini. Adakalanya saya mengulang wuduk dan solat sehingga 2 jam atau sehingga habis waktu. Jika rasa ada kesilapan pada bacaan pun saya akan bermula daripada awal iaitu mengambil wuduk. Keadaan ini menyebabkan saya takut untuk solat, melengah-lengahkan solat atau berhasrat berhenti terus untuk solat. Ada kalanya saya akan memukul muka saya apabila perlu mengulang wuduk. Saya juga sering rasa tidak selesa di bahagian perut. Saya rasa bersalah dengan Tuhan dan takut dengan keadaan saya di alam barzakh nanti. Adakah saya jatuh dalam.kategori orang yang madhur dan boleh mengambil wuduk dan solat sekali sahaja?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, dalam keadaan ini, puan hendaklah mengabaikan keraguan tersebut dan meneruskan ibadah tanpa mengulang wuduk atau solat. Rasulullah SAW bersabda berkenaan seseorang yang merasakan seolah-olah berlaku sesuatu ketika solat:

لَا يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Maksudnya: “Janganlah dia berpaling (membatalkan solatnya) sehingga dia mendengar bunyi atau mendapati bau.” (Riwayat al-Bukhari dan Imam Muslim).

Hadis tersebut mengajarkan bahawa seseorang tidak boleh meninggalkan solat hanya kerana keraguan tentang hadas. Ia bukan bermaksud saudara mesti menunggu bunyi atau bau dalam setiap keadaan, tetapi bahawa perasaan, sangkaan dan keraguan semata-mata tidak membatalkan wuduk yang telah diyakini sah. Kaedah yang menghuraikan hukum berpegang pada keyakinan apabila timbul keraguan tentang hadas ini dikenali sebagai:

الْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.

Selain itu, perlu diberikan perhatian khusus kepada keadaan puan yang memukul muka sendiri dan berasa mahu meninggalkan solat. Penyakit OCD yang menyebabkan ibadah berulang selama berjam-jam bukan sekadar masalah kurang yakin atau kurang iman. Ia boleh menjadi gangguan yang memerlukan rawatan profesional. Rawatan seperti terapi kognitif tingkah laku, khususnya Exposure and Response Prevention (ERP), boleh membantu seseorang belajar menghadapi keraguan tanpa melakukan ritual berulang. Justeru, sangat digalakkan puan mendapatkan rawatan daripada doktor atau pakar psikologi kilinikal, serta memaklumkan bahawa OCD puan tertumpu pada wuduk, bacaan dan solat. Puan boleh mendapatkan bantuan klinikal sambil terus memperkukuh amalan agama. Jangan biarkan ketakutan terhadap dosa menyebabkan puan meninggalkan solat yang menjadi kewajipan. Dapatkan bimbingan agama yang memahami OCD supaya puan tidak terus terperangkap dalam kitaran waswas. Justeru, puan tidak boleh lagi dikategorikan sebagai uzur syari' kerana terdapat solusi yang boleh mengubati penyakit yang puan alami dan terdapat panduan syarak yang memberi bimbingan kepada puan. Puan boleh merujuk kepada lama sesawang berikut: https://www.muftiselangor.gov.my/2024/11/19/76-taudhih-al-hukmi-panduan-menangani-was-was-dalam-perkara-ibadah/ bagi mengetahui maklumat lanjut berkaitan dengan isu was-was. 

Antara cara menangani was-was adalah dengan: 
1. Memperkemaskan pengetahuan dengan mempelajari tatacara ibadah yang sahih. 
2. Tidak melayan perasaan was-was tersebut. 
3. Bersabar dan terus melawan was-was dalam diri. 
4. Memohon perlindungan daripada Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 23

message user image