Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Tuan, saya ingin mendapatkan pandangan dan penjelasan berkenaan hukum pemakaian alat Continuous Glucose Monitoring (CGM) bagi individu yang bukan pesakit diabetes.
Saya bukan seorang pesakit diabetes, namun saya terlibat sebagai peserta dalam satu kajian klinikal yang bertujuan untuk menguji penggunaan alat CGM ini. Alat tersebut perlu dipakai secara berterusan selama 15 hari dan tidak boleh ditanggalkan sepanjang tempoh kajian.
Alat CGM ini dipasang pada bahagian tubuh badan yang tidak menghalang sah wuduk, namun ia menghalang laluan air ke kulit sekiranya mandi wajib (mandi junub) dilakukan.
Sehubungan itu, saya ingin memohon pandangan tuan mengenai hukum pemakaian alat ini bagi peserta kajian yang bukan pesakit diabetes, khususnya dari sudut kesahihan mandi wajib dan kewajipan bersuci sepanjang tempoh pemakaian alat tersebut.
Kerjasama dan penjelasan daripada pihak tuan amat saya hargai.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, alat Continuous Glucose Monitoring (CGM) adalah suatu alat yang digunakan bagi peskit diabetes. Adapun kaedah untuk mandi wajib bagi pesakit kencing manis/ diabetes yang perlu memakai CGMS boleh dikategorikan kepada dua:
Pertama: Pesakit kencing manis/ diabetes tahap kritikal yang perlu bergantung kepada alat CGM boleh melakukan mandi wajib dengan mengalirkan air seperti biasa keseluruh bahagian tubuh badannya termasuk pada bahagian CGM.
Kedua: Pesakit kencing manis/ diabetes tahap biasa perlu membuka CGM untuk mandi wajib kerana dia tidak berhadapan dengan kesukaran yang banyak dan tidak perlu menggunakan CGM secara kerap.
Ini merupakan keringanan (rukhsah) bagi seseorang yang berhadapan dengan kesulitan disebabkan penyakit.
Justeru, pemakaian alat ini pada asalnya adalah diberikan kelonggaran kepada pesakit diabetes yang bukan tahap keritikal, sebaliknya jika bukan pesakit diabetes adalah wajib membuka alat tersebut ketika mandi wajib agar air sampai ke seluruh badan. Bagi menjayakan kajian tersebut disarankan agar mengelakkan diri daripada mandi wajib di sepanjang tempoh kajian.
Sekian, terima kasih.