BANK SOALAN  BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Apakah maksud rujuk (cerai hidup) dalam Islam? Adakah ia merujuk kepada perbuatan atau percakapan? Adakah perkahwinan masih dianggap sah walaupun rujuk tidak didaftarkan?

 

Apakah hukum seorang wanita yang bercerai secara rasmi di mahkamah (ada sijil cerai) telah rujuk dengan bekas suami semasa masih dalam iddah (bersetuju untuk kembali bersama, tinggal bersama dan melakukan hubungan seks), tidak mendaftarkan di mahkamah atau pejabat agama tentang rujuk itu (tiada sijil rujuk) dan selepas itu berpisah dengan bekas suami tanpa ucap lafaz talak yang baru? Apakah status wanita ini? Sekiranya dia menyembunyikan perkara ini dan bernikah dengan lelaki, apakah hukum dan status perkahwinan terbaru itu?

 

Wanita yang saya nyatakan ini adalah bakal isteri saya. Perkahwinan dan perceraian beliau dan bekas suami berlaku di Thailand semasa beliau bekerja disana (nikah dah cerai dilakukan di Pejabat Kadi disana mengikut undang-undang Islam disana). Saya pula hanya baru mengetahui perkara ini semasa dalam proses persiapan untuk berkahwin dengan beliau. Beliau ada beritahu saya, selain beliau dan bekas suami, tiada siapa yang tahu maka anggap saja beliau dan bekas suami tidak pernah rujuk dan guna sahaja sijil cerai beliau yang sedia ada untuk urusan permohonan nikah kami.

 

Harap pihak tuan dapat memberi penjelasan kerana saya sekarang keliru sama ada beliau ini berstatus janda atau masih isteri orang.

 

Terima kasih tuan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan tuan :

1. Rujuk (الرجعة) ialah mengembalikan isteri yang diceraikan dengan talak raj‘i (talak satu atau talak dua) kepada ikatan perkahwinan yang sedia ada ketika isteri masih berada dalam tempoh iddah, tanpa memerlukan akad nikah yang baharu. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 228:

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا

Maksudnya:

Maksudnya : Dan suami-suami mereka lebih berhak untuk merujuk mereka dalam tempoh itu jika mereka menghendaki perdamaian.

2. Menurut qaul muktamad Mazhab Syafi‘i, rujuk berlaku dengan lafaz atau ucapan yang menunjukkan kehendak suami untuk mengembalikan isterinya kepada ikatan perkahwinan. Oleh itu, sekadar persetujuan untuk kembali bersama, tinggal serumah atau melakukan hubungan suami isteri tidak dianggap sebagai rujuk sekiranya tidak disertai dengan lafaz rujuk yang sah daripada suami. Prinsip ini juga selaras dengan peruntukan undang-undang keluarga Islam di Negeri Selangor yang mensyaratkan rujuk dibuktikan dan direkodkan melalui prosedur yang ditetapkan

3. Dari sudut hukum syarak, apabila rujuk memenuhi syarat-syaratnya, iaitu:

  • suami yang berhak merujuk;

  • isteri yang masih berada dalam iddah talak raj‘i; dan

  • lafaz rujuk yang sah,

maka rujuk tersebut adalah sah walaupun belum didaftarkan secara rasmi. Namun begitu, pendaftaran rujuk wajib dipatuhi menurut undang-undang keluarga Islam kerana ia berkaitan dengan pembuktian, rekod rasmi dan perlindungan hak pihak-pihak yang terlibat. Kegagalan mendaftarkan rujuk boleh menimbulkan implikasi dari sudut pentadbiran dan perundangan, tetapi ia tidak semestinya membatalkan rujuk yang telah sah menurut syarak.

Sehubungan itu, dalam situasi yang dinyatakan, pihak yang terlibat hendaklah segera hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah atau Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa untuk mendapatkan pengesahan status rujuk dan status perkahwinan mereka. Ini kerana penentuan sama ada lafaz rujuk benar-benar telah berlaku atau tidak merupakan persoalan fakta yang perlu dipastikan melalui pengakuan, keterangan dan proses yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama dan Mahkamah Syariah. Oleh itu, sebelum sesuatu pernikahan baharu diteruskan, pengesahan terlebih dahulu hendaklah diperoleh bagi mengelakkan berlakunya keraguan terhadap status perkahwinan serta sebarang implikasi hukum syarak dan perundangan yang mungkin timbul.

Lebih-lebih lagi terdapat kenyataan yang bekas suami telah rujuk, kemudian berpisah tanpa melafazkan talak yang baharu, dibimbangi hubungan perkahwinan masih kekal. Oleh itu, perkara ini perlu dipastikan dan dimuktamadkan oleh pihak yang berautoriti atau berbidang kuasa iaitu pihak Mahkamah Syariah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 4

message user image